Thursday, August 28, 2008

Selamat Hari Kemerdekaan ke-51 (updated)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Saya ingin menulis tentang kemerdekaan, tetapi saya tidak mahu menulis tentang negara bangsa Malaysia, tugas mengisi dan mempertahankan kemerdekaan, atau isi-isi tipikal yang akan dibicarakan tatkala kseseorang itu menulis tentang kemerdekaan. Saya maklum, kita semua sudah selalu membacanya. Tetapi saya ingin 'lari' dengan bercerita dari perspektif lain tentang kemerdekaan dan tongkat Nabi Musa.

Tongkat Nabi Musa, Pena Nabi Muhammad dan Pembinaan Tamaddun


Kenapa saya mahu bercerita kisah Nabi Musa?

"Dan bacakanlah (Hai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Musa; sesungguhnya ia adalah insan pilihan, dan adalah ia seorang Rasul dan Nabi."
(Maryam:51)

Nabi Musa sebenarnya mempunyai pertalian yang erat dengan Nabi Muhammad. Nabi Muhammad menemui Nabi Musa dalam peristiwa bermakna Isra' Mikraj. Nabi Musalah yg mengarahkan Nabi Muhammad meminta Allah menurunkan jumlah sembahyang yang akan dilakukan oleh Ummat Nabi Muhammad sehingga baginda sendiri tidak mahu kerana malu dengan Allah. Justeru, solat yang kita dirikan sehari-harian ini pun dekat dengan Nabi Musa.


TONGKAT NABI MUSA AS


Perjuangan Nabi Musa menentang kezaliman Fir'aun terhadap bumi Mesir bermula dengan tongkat. Keadaan ini jelas digambarkan di dalam Surah Taaha apabila Allah mahu memberikan mukjizat Tongkat terhadap Nabi Musa agar tongkat itu nanti dapat digunakan untuk melawan Fir'aun dan memerdekakan bumi Mesir.

"Dan apa (benda) yang berada pada tangan kananmu itu wahai Musa?. Dia menjawab, 'Inilah tongkatku, aku menggunanya semasa berjalan, aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku, dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu. Allah berfirman: "Campakkanlah tongkatmu itu wahai Musa!". Lalu ia mencampakkannya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang bergerak menjalar. Allah berfirman: "Tangkaplah ia dan jangan takut, Kami akan mengembalikannya kepada keadaannya yang asal."
(Taaha:17 - 21)

Jelaslah sekarang, bahawa tongkat Nabi Musa yg baginda gunakan untuk urusan sehari-harian itu mempunya fungsi yang hebat. Tongkat baginda berperanan pada era penjajahan, pra-merdeka dan merdeka.

Zaman penjajahan

Zaman ini adalah zaman cengkaman kuku besi penjajahan Fir'aun dan Nabi Musa baru berusaha untuk melawannya demi membebaskan Bumi Mesir dari perhambaan Fir'aun. Nabi Musa kemudiannya menetapkan masa bagi memerangi kekuatan ahli sihir yang diperalatkan oleh Fir'aun.

Nabi Musa berkata: "Tempoh yang aku tetapkan untuk kamu ialah hari perayaan, dan hendaklah orang ramai berhimpun pada waktu dhuha" (Taaha:59)

Nabi Musa mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata. (Asy-Syu'ara:32)

Zaman pra-merdeka

Setelah berperanan pada zaman penjajahan Fir'aun, tongkat itu juga membawa Bani Israel merentasi Lautan Merah ketika Musa membelah lautan dengannya.

Dan demi sesungguhnya! Kami telah wahyukan kepada Nabi Musa: "Hendaklah kau membawa hamba-hambaKu keluar memgembara pada waktu malam, kemudian pukullah air laut dengan tongkatmu, untuk mengadakan jalan yang kering bagi mereka di laut itu; janganlah engkau menaruh bimbang daripada ditangkap oleh musuh, dan jangan pula kau takut tenggelam". (Taha:77)

Lalu Kami wahyukan kepada Musa: "Pukullah laut itu dengan tongkatmu". (Setelah dipukul), maka terbelahlah laut (kepada beberapa bahagian), lalu tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar." (Asy-Syu'ara':63)

Tongkat tersebut telah berperanan menyelamatkan Nabi Musa dan kaumnya dari Fir'aun yg kemudiaanya lemas tenggelam dalam laut tersebut apabila cuba melalui laluan laut yg dibuat oleh Nabi Musa.

Zaman merdeka

Akhirnya merdekalah penduduk Mesir dari kekuasan Fir'aun yang tenggelam dalam Laut Merah. Tongkat Nabi Musa hanya membelah laut untuk pengikut Nabi Musa lantas menenggelamkan Fir'aun apabila beliau turut cuba untuk melaluinya. Lihatlah, betapa besar fungsi tongkat dalam menyelamatkan dan membinasakan golongan tertentu.

Sekarang tongkat tersebut terus berfungsi pada era pasca merdeka, mengisi kemerdekaan dan memberi manfaat kepada masyarakat agar mereka terus hidup sejahtera dan terbela.

"Dan (ingatlah) ketika Musa meminta agar diberikan air untuk kaumnya, maka Kami berkata: "Pukullah batu itu dengan tongkatmu," (ia pun memukulnya), lalu terpancut dari batu itu 12 mata air; sesungguhnya setiap puak (antara mereka) telah mengetahui tempat minum. (Dan Kami berfirman): "Makan dan minumlah dari rezeki Allah, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi." (Al-Baqarah:60)

"Dan kami membahagikan mereka (Bani Israil) menjadi 12 suku, sebagai golongan-golongan besar, dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa, ketika kaumnya memohon air kepadanya: "Pukullah batu itu dengan tongkatmu." Maka terpancarlah darinya 12 mata air. Tiap-tiap golongan (antara mereka) mengetahui tempat masing-masing. Dan Kami naungi mereka dengan awan, dan Kami turunkan kepada mereka "Mann" dan "Salwa". (Lalu Kami berfirman): "Makanlah dari baik-baik yang kami telah kurniakan kepada kamu". Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (dengan kekufuran mereka), tapi mereka adalah menganiaya diri mereka sendiri. (Al-A'raaf:160)

Peranan tongkat Musa a.s itu berakhir dengan sendirinya pada ketika Bani Israel merdeka daripada perhambaan Fir'aun. Khazanah itu semua mungkin tersimpan dalam peti Tabut yang menjadi rebutan anggota Freemason dan Knight Templar pada dekad-dekad selepas itu.

Kesimpulan dari kisah ini ialah, tongkat Nabi Musa memainkan peranan yang sangat penting pada zaman penjajahan, pra merdeka, pasca merdeka dan seterusnya pembinaan tamaddun baru masyarakat Mesir.

PENA NABI MUHAMMAD SAW

Ummat Nabi Muhammad juga mempunya kisah yang hampir sama dengan Ummat Nabi Musa. Namun, bukan dengan pertolongan tongkat, tetapi dengan pertolongan PENA. Sebagaimana kisah Nabi Musa, Allah mewahyukan kepada baginda tentang mukjizat tongkat sebagai tanda bermulanya perjuangan baginda, tetapi dalam kisah Nabi Muhammad, Allah mewahyukan tentang Pena sebagai tanda bermulanya perjuangan baginda s.a.w.

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
(al-Alaq: 1-5).

Bangsa Arab yang hina pada zaman sebelum kedatangan Islam telah dimuliakan apabila datangnya Islam. Ini kerana, Islam datang membawa satu mukjizat yang hampir sama dengan mukjizat tongkat Nabi Musa iaitu Al-Qur'an dimana melalui pena dan tulisan akan ajaran Islam di dalam Al-Qur'an menyebabkan ummat Arab berubah akhlaq, sikap, cara fikir dan peradaban. Ayat-ayat Al-Qur'an yg ditulis di atas pelepah kurma, kulit kayu dan lain2 lagi lalu dipelajari oleh mereka saban waktu dengan bersunguh-sungguh, menyerap ke dalam hati lalu mengukuhkan keimanan. Islam datang memerdekakan mereka dari budaya perhambaan dan ketundukan kepada segala illah lain selain Allah. Islam menjadi sumber kekuatan mereka dan senjata mereka menghadapi segala cabaran dan tekanan sesuai sebagaimana fungsinya sebagai mukjizat dari Allah.

Al-Qur'an yang hidup dalam jiwa para sahabat menyebabkan mereka bangkit memajukan diri, menyebarkan Islam, meraih kekuasaan dan kekayaan, merintis sistem dan menakluk dunia. Pena dan Tulisan juga memainkan peranan yang besar dalam pengutusan surat Rasulullah dan juga para Khalifah ke negara-negara yang belum sampai pengaruh Islam. Mereka menghantar surat (waraqah) kepada Raja-Raja negara tersebut untuk mengajak memeluk Islam. Jika Raja tersebut enggan memeluk Islam, maka mereka akan meminta izin untuk mendakwahkan Islam kepada rakyat dan jika Raja tersebut tidak benarkan, barulah mereka akan mengisytiharkan perang demi memastikan Islam itu sampai kepada rakyat. Islam datang membebaskan rakyat jelata daripada pemerintah yang zalim dan di sesetengah negara, Islam datang demi membebaskan rakyat daripada agama yang bukan Islam walaupun pemerintahnya adalah pemerintah yang baik. Namun, harus diingatkan di sini bahawa penaklukan itu adalah bg memastikan agar ajaran Islam sampai kepada rakyat dan setiap orang berpeluang mendengar tentang Islam, namun mereka sekali-kali tidak akan dipaksa untuk memeluk Islam.

Ajaran Al-Qur'an yang sampai kepada setiap individu memotivasiikan mereka untuk bangkit memajukan diri lantas memajukan negara. Akhirnya, semangat dan budaya inilah yang menjadi asas kepada pembinaan Tamaddun Islam dan Kehebatan Empayar Islam yang bertahan selama ratusan tahun. Kita melihat di sini bahawa kita maju apabila zaman tersebut ummat Islam disibukkan dengan Ilmu dengan melahirkan tokoh-tokoh ulung sepanjang zaman dalam segenap cabang ilmu selama beberapa ratus tahun. Namun, akhirnya, kita jatuh apabila kita tidak lagi mementingkan ilmu lantas membiarkan Eropah yang dalam zaman kegelapan melalui proses renaissance lalu akhirnya bangkit menerajui dunia. Peristiwa hitamnya sungai Tigris-Euprates dek ribuan kitab ilmuan Islam dibuang disitu oleh tentera Tartar mungkin bisa dilihat sebagai kehilangan fizikal, namun hakikatnya ummat Islam sendiri sudah semakin tidak mementingkan ilmu pada zaman tersebut dan leka dengan hiburan.

Perjuangan mencapai kemerdekaan di seluruh dunia juga menyaksikan peranan besar golongan karyawan melalui pena dan penulisan oleh para penyair, wartawan dan penulis buku dalam mengobarkan semangat kemerdekaan, menggerakkan rakyat dan mengusir penjajah. Mereka tahu bahawa tulisan itu lebih tajam dari mata pedang. Setelah kemerdekaan dicapai, golongan penulis jugalah yang memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pemikiran masyarakat dan memberikan keyakinan kepada rakyat jelata akan agenda kemerdekaan, pembinaan negara bangsa dan tugas mengisi kemerdekaan. Tepatlah sebagaimana wahyu pertama Allah, akan peri pentingnya membaca, pena dan ilmu ke arah kehidupan dan masa depan yang lebih baik. Ilmu adalah cara yg digariskan oleh Allah untuk ummat Nabi Muhammad menjadi sejahtera, sedangkan tongkat Nabi Musa memberikan kesejahteraan kepada kaum Nabi Musa selepas kemerdekaan dengan memancutkan 12 mata air apabila dipukul pada batu.

Akhir kata, saya secara peribadinya, melihat kisah Tongkat Nabi Musa, Pena Nabi Muhammad dan kaitannya dengan kesejahteraan, kemajuan dan pembinaan Tamaddun adalah sangat erat. Kita hanya boleh bangkit apabila setiap umat Islam tanpa berkecuali menjadi obsesi dengan Ilmu dan mempelopori kajian-kajian baru dalam setiap bidang ilmu. Negara tercinta Malaysia akan sukar maju andainya rakyat terus leka dan tidak sukakan ilmu walaupun kerajaan boleh menyediakan infrastuktur kelas pertama. Bak kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, "infrastuktur kelas pertama tetapi mentaliti kelas ketiga". Orang Melayu mungkin sudah lama sedar dengan kisah tongkat Nabi Musa dan kepentingan tongkat apabila mereka mencipta satu pepatah yang menarik iaitu, 'seperti orang buta kehilangan tongkat' bagi menggambarkan orang yang tiada ilmu, kehilangan guru, petunjuk dan hidayah.

Wallahu a'lam.


Reception Dinner di Kedutaan Malaysia Canberra sempena Hari Kemerdekaan ke-50 (2007).

Salam Kemerdekaan ke 51 dari Canberra.

1 comment:

HidayatiHH said...

peranan pena dan penulisan melalui majalah-majalah seperti al-Imam, peranan madrasah-madrasah untuk didik peribadi Muslim DAN peranan 'kelab-kelab' islam di seluruh tanahair pada ketika itu ex MATA ---> semua ini bermula dengan munculnya tokoh2 reformis tanah air lulusan Mekah dan Mesir.. mereka golongan ulama' yang mempelopori perjuangan kemerdekaan yang sebenar.. mereka rantai perjuangan menegakkan islam di TM..

jangan lupekan mereka..

selamat hari kemerdekaan yang ke 51

dan selamat berpuasa:-)

Ramadhan Kareem