Friday, August 22, 2008

Ihya Ramadhan 1: Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan

Assalamualaikum wbt...

Saya bercadang untuk membuat beberapa siri penulisan sempena Ramadhan, tujuan paling utamanya adalah untuk menghidupkan Ramadhan dalam diri saya, sebagai tazkirah buat diri agar bulan Ramadhan ini berbeda buat saya dari bulan-bulan yang lain. Namun, saya harap kita dapat kongsikan ruh ini sama-sama.

Tulisan ini bukan berbentuk fiqh yg akan memperkatakan tentang hukum-hakam dan syariat berpuasa, dan bukan juga berkisar kepada rantaian fadhilat hadith tentang puasa dan Ramadhan. Saya yakin sudah byk pihak yg membicarakan tentang perkara tersebut. Mungkin saya akan menyelitkannya juga tetapi itu bukanlah intisari utama penulisan ini. Saya hanya mahu berkongsi Ramadhan kedua saya di Canberra dan Ramadhan keempat saya tidak terawikh berimamkan ayah saya.

Ihya Ramadhan

Perkataan yang dipinjamkan dari Bahasa Arab di atas telah pun membawa maksud hasrat hati saya "Hidupkan Ramadhan". Saya harap dan saya mahu Ramadhan saya kali ini menjadi Ramadhan terbaik dalam hidup saya selama 21 tahun ini (harapnya cita-cita ini tidak keterlaluan). Ihya Ramadhan yg tidak klimaks pada pertengahan Ramadhan lalu menurun pada akhir Ramadhan, sedangkan di situ Lailatul Qadr. Alangkah ruginya~!. Apa kata plot Ramadhan ini kita ubah, biar ia klimaks di akhir Ramadhan. Hukum plot penceritaan mengatakan , selepas klimaks mesti menurun? Jadi, menurunnnya bila? Soalnya juga, wajarkah ia menurun? dan tambah lagi, mampukah kita tidak menurunkannya?

Ramadhan dan Taqwa

Di sini saya akan memperkatakan tentang ayat Qur'an yg kita telah belajar sejak sekolah rendah. Tapi saya rasa ia bermakna kerana Allah menjanjikan taraf taqwa buat hambanya yang mengerjakan ibadah ini dengan sebaik-baiknya.

"Wahai orang-orang yg beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa" (2:183)

Jelas sekali bahawa puasa yang ditunaikan dengan sebenar-benarnya, zahir dan batin akan mampu mengangkat seseorang mukmin itu ke darjat taqwa. Taqwa adalah satu tingkat yg tinggi dan untuk mencapainya ia memerlukan kesungguhan dari kita agar kita mendapat taqwa yang dijanjikan oleh Allah tersebut. Ia sukar, tetapi janji Allah itu pasti.

Ibadah puasa juga istimewa kerana Allah SWT telah menegaskan dalam sebuah hadith Qudsi yang sering kita dengar,

“Kulluu ‘amali ibnu aadama lahu illash-shiyaam. Fa innahu lii wa ana ajzii bihi (setiap amal manusia untuk dirinya sendiri, kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk aku. Dan akulah yang membalasnya)”.

Kenapa Allah mengatakan bhw "Aku akan membalasnya?". Adakah ibadah lain tidak dibalas Allah?

Inilah kata-kata yang memberikan isyarat Rabbaniah dari Allah akan istimewanya ibadah puasa. Ada pendapat ulama' yang mengatakan bahawa amalan - amalan lain akan terus dicatat oleh malaikat sebaik shj kita lakukannya tetapi ibadah puasa akan dikendalikan oleh Allah sendiri. Ini adalah kerana ibadah puasa bersifat 'rahsia' atau istilah Arabnya 'sirriyyah'. Orang lain tidak nampak dan tidak tahu bilakah kita berpuasa dan benarkan kita benar-benar berpuasa. Sifatnya yg 'rahsia' ini menyebabkan ia adalah amat dekat dengan keikhlasan. Bukankah syarat amal diterima itu ialah pelakunya mesti ikhlas?

Itulah sebabnya mengapa Allah menegaskan bahwa Dia sendiri yang akan membalas amalan puasa ini. Berpuasa mengajar kita erti keikhlasan kerana orang tidak nampak kita berpuasa, bukan seperti ibadah-ibadah lain yg apabila kita melakukannya orang akan nampak. Ramai orang mengetahui tentang kebaikan kita akan mendekatkan kita dengan sifat riya'.

Kesimpulannya, ibadah puasa pada bulan bukan Ramadhan pun sudah istimewa, apatah lagi pada bulan penuh berkat ini. Jadi, untuk siri pertama Ihya Ramadhan ini, saya harap kita sama-sama dapat merasakan bahawa sesuatu yang istimewa ini harus dilayan dan disambut dengan cara yang istimewa. InsyaAllah.

No comments: