Monday, January 19, 2009

Tarbiah Bukan Paksaan Tapi Pendidikan

Bismillahirahmanirahim

Assalamualaikum wbt

Saya terbaca artikel nie, menarik kerana memberi pencerahan kepada beberapa isu yang memang dihadapi oleh org2 yang sedang dalam tarbiah. Hopefully, it benefits you as much as it benefits me:-). Happy Perusing.

Tarbiah Bukan Paksaan Tapi Pendidikan

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim
Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh

Oleh :Nik Mohd Abduh B. Nik Mhd Nor

As-Syahid Imam Hassan Al-Banna ada menyebutkan :

“..dahulu kami berusaha keras memacu laju dakwah ini dan memaksimakan penyebarannya, namun kini, dakwah tersebut yang mendahului kami. Ia bercambah ke seluruh pelusuk dan desa dan memaksa kami menanganinya dengan serius, meskipun untuk itu (merealisasikan) kami harus menghadapi pelbagai persoalan berat yang sangat melelahkan…”

Dakwah dan risalah ini seringkali tidak menjanjikan kemanisan dunia, kerehatan dan keselesaan. Sebagaimana yang dicontohkan oleh para anbia’ dan aulia’, mereka senantiasa teruji, dan diuji kerana risalah ini. Lihat sahaja Nabi Allah Nuh a.s. Betapa hebat beliau diuji dan ditekan oleh kaumnya serta sanak-saudaranya, namun, beliau tidak pernah kenal erti penat dan lelah. Pelbagai ranjau dan duri terpaksa beliau hadapi. Bukan sehari dua, tetapi ratusan tahun. 950 tahun merupakan jangka masa yang panjang. Lihatlah, betapa agungnya dakwah dan risalah ini hingga para pemikulnya sanggup menahan cercaan, makian, ugutan dan sebagainya.

Dakwah dan Kefahaman

Dakwah boleh berlaku di mana sahaja, kepada siapa ianya ditujukan dan ke mana sahaja ianya dihalakan. Dakwah bukanlah satu trend. Bukan juga barang pakai buang. Dakwah dan isinya tetap sama dan tidak berubah dari datangnya Nabi Muhammad SAW hingga ke hari ini meskipun terdapat revolusi dalam method penyampainnya. Kepelbagaian ini adalah perlu diraikan dan dimestikan, sesuai dengan peredaran dan kehendak zaman.

Bagi mereka sudah ataupun baru berjinak dengan alam dakwah, mereka perlu meletakkan kefahaman dalam diri mereka bahawa dakwah bukanlah suatu paksaan atau tekanan. Kefahaman terhadap dakwah perlu jelas bagi setiap pemikulnya. Dakwah bukan seperti menjual barang sebagaimana sesetengah peniaga yang memaksa pengguna untuk membelinya walaupun dengan cara dan jalan yang salah. Kefahaman yang salah tentang konsep dakwah, juga tarbiah hanya menyebabkan manusia akan lebih jauh daripadanya.

Usrah Mendidik, Bukan Memaksa..!

Realitinya, usrah didirikan atas dasar ukhuwwah dan semangat kasih sayang sesama para pencinta dakwah. Kenapa usrah selalu kering dan tidak bermaya? Atau nampak pada lahiriahnya seakan segar, tapi hakikatnya tidak bugar, lemah, lesu, tiada ruh dan tidak berupaya menghasilkan mad’u yang benar-benar ikhlas berjuang.

Kenapa ini berlaku? Jawapannya mudah sahaja. Kerana usrah yang dibina adalah paksa-oriented. Mahu menjadikan ma’du seolah-olah malaikat kecil. Lengkap tanpa kesalahan dan mengikuti 100% module yang disusun tanpa sebarang bantahan. Mad’u bukan robot yang boleh dipaksa, dan ditaujih sesuka hati oleh naqib atau murabbinya. Benar, arahan merupakan suatu proses dalam tarbiah. Tapi, arahan tidak boleh bertukar menjadi paksaan/tekanan kepada mad’u. Proses pembentukan mad’u atau rijal/kader memerlukan masa. Kita “merekrut” mereka dan memaksa mereka atas nama “amal jama’ie” sedangkan tuntuan sebenar amal jama’ie tidak begitu. Takwin atau pembentukan ma’du mestilah berperingkat, setapak demi setapak dan bertadarruj.

Usrah bukanlah seperti makanan segera. Hendak makan, seminit dua dimasak, sudah siap. mendidik dan mentarbiah manusia memerlukan masa yang lama. Untuk menjadikan mad’u lebih matang dan nampak “berusia”, murabbinya perlu membentuknya secara perlahan, tidak terlalu mengikat, tidak juga terlalu berkeras dan tidak pula terlalu longgar. Taujihat sememangnya perlu dalam amal jama’ie, tapi bukanlah taujihat itu menjadi suatu yang wajib ditelan secara paksa-”rela”. Rela dari sudut pandangan kita yang mengeluarkan arahan, terpaksa dari sebelah pihak yang memikulnya.

Tarbiah Itu Di Mana-Mana

Seringkali hal ini terjadi dan ianya seakan-akan tampak “benar” walaupun pada hakikatnya ianya sesuatu yang merosakkan lagi batil. Hal apakah yang dimaksudkan? Menghalangi mad’u yang ditarbiah kita untuk menghadiri program-program agama anjuran kumpulan islam lain, atau, membantutkan pengetahuan ma’du dengan menyekat mana-mana perkongsian ilmu atas jenama dan jalur kumpulan islam yang berbeza dengan kita atas nama bimbang. Bimbangkan apa? Bimbang berlakunya “lompat’ keahlian atau “terpengaruh” dengan kumpulan islam lain. Hal ini tidak wajar dijadikan alasan. Inilah kekaburan yang seringkali berlaku kepada mereka yang ikhlas membawa Islam, akan tetapi kurang memahaminya secara mendalam.

Lihatlah contoh yang dibentangkan oleh para sahabat dan tabiin. Mereka ini adalah kalangan murabbi pakar yang banyak mentarbiah orang. Sejarah membuktikan, tidak berlakunya penyekatan, atau sentimen “bimbang” seperti di atas, bahkan, merekalah murabbi yang berlumpa-lumba mengiyakan dan menyuruh mad’u mereka supaya mendapatkan kepelbagai pandangan dan pendapat dari sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang lain. Terdapat banyak kisah yang boleh dicontohi.

Dalam sistem tarbiah, terdapat 2 istilah yang biasa didengari, program umum dan khusus. Program khusus anjuran kumpulan Islam yang kita berikan komitmen kepadanya sememangnya layak menjadi prioriti utama kepada kita, juga program umum. Namun, tidaklah ia sepatutnya menjadi pembatas kepada ma’du kita untuk menambah ilmu mereka dengan menghadiri program-program lain anjuran kumpulan islam lain. Dalam program umum, sekiranya dirasakan baik dan elok, janganlah diberikan tekanan dan sekatan kepada mad’u untuk menghadirinya. Atau dengan beralasan untuk mendisiplinkan mereka dengan amal jama’ie, segala-galanya perlu mendapatkan keizinan murabbi atau isti’zan daripada kumpulannya. Kita telah memahami konsep amal jama’ie secara salah dan songsang. Memang wajar dan tidak salah sekiranya mad’u itu sendiri berupaya untuk mendapat keizinan, atau dengan relanya untuk mendapatkan restu, izin dari murabbinya. Bahkan ia lebih dituntut sekiranya mad’u tersebut mampu melakukannya pada setiap masa, dan setiap perkara yang hendak dilakukan.

Keterikatan yang melampau inilah hal sebenar yang merimaskan para mad’u, hatta menjadikan mereka lembik, lemah dan futur setelah mereka bermujahadah. Hal ini hanya membuahkan krisis dalaman kepada jiwa mad’u. Jiwa mereka akan sentiasa memberontak sekiranya semua perkara yang hendak dilaksanakan perlu diminta-izinkan, atau perlu mengikut 100% arahan murabbinya. Mad’u bukanlah hak kita atau robot yang wajib mendengar setiap arahan, atau mendapatkan keizinan bagi setiap perkara yang mereka lakukan. Mad’u adalah manusia yang tidak lekang daripada sifat-sifat lemah.

Para murabbi haruslah memahami bahawa tarbiah bukan sekadar menghadiri daurah, tamrin, usrah dan yang seumpama dengan itu. Akan tetapi, tarbiah itu lebih luas dan terbuka konsepnya. Menghadiri majlis ilmu seperti ceramah umum juga tarbiah, menghadiri kelas-kelas agama, tajwid, fardhu ain, comparative religion dan lain-lain juga adalah tarbiah. Masalah yang berlaku adalah ramai di kalangan mad’u ditanam minda mereka dengan “usrah/daurah/ tamrin/muktamar/ katibah dll..” itu sahajalah yang dikira tarbiah. Skop tarbiah telah disempitkan sesempit-sempitnya atas nama “disiplin”. Hal ini tidak wajar sama sekali berlaku dan tidak sepatutnya pun terjadi.

Kesimpulannya, jangan dipaksa mad’u-mad’u kita untuk mengikut semua arahan kita, atau memaksa mereka meminta izin daripada kita dalam semua perkara yang hendak mereka lakukan seperti menghadiri ceramah umum, memenuhi jemputan program umum, hatta dalam perkara-perkara yang sepatutnya menjadi hak kepada mereka seperti ingin pulang ke kampung, atau pergi melancong dan bercuti. Sekiranya perkara seperti ini pun diwajibkan ke atas para mad’u, janganlah kita menyesal apabila suatu hari nanti, mereka dengan beraninya meninggalkan tarbiah, dakwah dan merasakan bersendirian itu lebih elok dan baik bagi mereka.

SELINGAN

Faktor-Faktor Kekeringan dan Kelesuan Tarbiah

1)Orientasi Pada Produktiviti

Usrah atau tarbiah yang berorientasikan atau melebihkan produktivitinya sahaja sebenarnya hanyalah melemahkan dan membosankan mad’u. Para mad’u akan lebih tertekan apabila mereka terpaksa memenuhi target-target tertentu yang harus dicapai walaupun ianya tidak menjadi kemampuan bagi diri mereka. Para murabbi seharusnya meneliti kemampuan para mad’unya, dan tidak menilai diri mereka seperti mesin cuci pakaian. Mesin basuh hanya menurut arahan. 20 minit untuk basuh-bilas dan 5 minit untuk proses pengeringan. Dan baju siap untuk dijemur. Tarbiah bukan seperti itu. Ini kerana, hal ini hanya akan melahirkan mad’u jenis terpaksa-oriented.

Hal ini akan membarah apabila mad’u mula merasakan diri mereka “letih”, dan tidak mahu lagi memberikan komitmen atau melakukan apa-apa sahaja kerana merasakan diri mereka dilayan semacam robot. Dan ianya akan menjadi lebih parah dan kronik sekiranya sesuatu yang dipikulkan adalah di luar kemampuan mereka dan akhirnya mereka beranggapan bahawa adalah lebih baik mengasingkan diri daripada tarbiah supaya mereka rasa bebas tanpa sebarang ikatan.

2)Lemah Kreativiti

Usrah, atau atas nama apa pun ianya dijelmakan, ianya bukanlah sekadar duduk bersila, berlaga lutut dan kemudian pulang dan ianya berlaku sedemikian sampai bila-bila. Usrah menuntut kepada kepelbagaian dan variasi. Usrah yang muntijah/berjaya hanya mampu dibentuk apabila ianya tidak statik, kaku dan sama setiap masa. Usrah tanpa kreativiti atau kepelbagaian akan membosankan ahlinya, atau lebih teruk lagi murabbi dan pembawanya. Hal ini boleh dilihat dalam 2 aspek utama. Modul dan aktivitinya.

Modul

Usrah yang berkesan adalah usrah yang tidak sempit skop perbincangannya, tidak hanya tertumpu kepada satu-satu masalah sahaja, bahkan ianya lebih meluas dan mencakupi semua perkara, baik siasah, amal islami, isu global dan lain-lain. Perbincangan seputar masalah-masalah agama, sirah, fiqh dan lain-lain juga perlu diperbanyakkan. Namun, hal ini perlu mengikut standard kemampuan mad’u atau perlu dilihat kepada mustawa dan tingkat mana kah kemampuan mad’unya. Janganlah mad’u yang baru sebulan dua mengikut usrah disumbat dengan perkara-perkara besar seperti persoalan harakah islamiyyah, jemaah-jemaah, atau perkara-perkara berat mahupun khilafiyyah yang mereka tidak mampu pun untuk memahaminya.

Aktiviti

Kepelbagaian dari sudut aktiviti juga amat perlu ditekankan. Usrah seharusnya tidak tertumpu hanya dalam bentuk halaqah atau liqa’ secara bulatan di rumah-rumah atau tempat-tempat khusus seperti masjid sahaja. Bahkan sepatutnya ia lebih daripada itu. Usrah perlu mendapat nafas dari segi program out doornya seperti keluar bersama-sama mad’u memancing ikan, beriadah atau lebih menarik lagi melancong ke mana-mana tempat bersama-sama. Pengisian usrah tetap berlaku walaupun seakan tiada majlis formal. Hal ini hanya boleh direalisasikan sekiranya murabbi berfikiran kreatif dan sanggup berlapang dada menerima pandangan mad’unya sekiranya mereka mencadangkannya. Namun, hal ini perlu dilihat kepada situasinya juga. Pelbagai tempat dengan pelbagai kerenah dan halangan. Ini kerana terdapat juga larangan-larangan dari pihak berkuasa agar tidak menjalankan sebarang aktiviti islam contohnya dibeberapa negara. Maka, dalam situasi begini, para ahli usrah perlu memikirkan hal lain bagi mewujudkan kepelbagaian dan corak pengurusan usrah itu.


WaAllhu a'lam

2 comments:

Anonymous said...

ana nak kongsi sesuatu yang menarik dgn nti.. moga manafaat


usrah tinggal sistem..

http://besiberani.wordpress.com/2007/11/23/usrah-tinggal-sistem/#comment-24

Thuaibah said...

terima kasih pedangpen..iA bermanfaat=)