Tuesday, February 9, 2010

Wang, Anda dan Islam

Bismillahi rahmanirahim...


Saya membeli buku ini pada awal Januari yang lepas di MPH. Buku ini mengupas dengan terperinci konsep-konsep asas kewangan Islam dan produk-produk yang terhasil daripada dasar kewangan Islam.

Pengetahuan saya tentang kewangan Islam sebelum ini hanyalah terhad kepada konsep-konsep asas dan menghadapi masalah untuk mengaplikasinya kepada produk-produk yang ditawarkan oleh bank dan pelbagai jenis transaksi perniagaan yang ada di pasaran pada hari ini. Buku ini telah memberi penerangan dan penjelasan yang sangat jelas walaupun banyak menggunakan istilah Arab. Ayat-ayat Al-Qur'an dan Hadith yang dijadikan asas dalam mengeluarkan hukum fiqh kepada produk-produk kewangan banyak membantu kefahaman pembaca terhadap hikmah hukum yang telah ditetapkan oleh Allah.

Perundangan syariah dalam kewangan Islam (muamalat Islam) lebih bersifat adil dan melindungi pihak pelanggan yang tidak mempunyai banyak pilihan selain daripada bersetuju untuk menandatangani syarat-syarat yang ditetapkan oleh bank setiap kali menggunakan produk atau perkhidmatan bank. Muamalat Islam akan menawarkan perkhidmatan dan produk yang distruktur khas untuk melindungi kepentingan pengguna (pelanggan) dan pada masa yang sama turut memberi keuntungan yang sepatutnya kepada pihak penjual, bank, pemiutang dan sebagainya. Namun, ramai penganut Islam sendiri mempersoalkan kenapa perbankan Islam lebih mahal daripada perbankan konvensional. Mereka sebenarnya terlupa untuk melihat secara keseluruhan dan jangka masa panjang yang jelas menunjukkan perbankan Islam lebih murah dan adil.

Saya tidak bercadang untuk menulis tentang produk-produk kewangan secara terperinci di sini, tetapi saya sangat ingin mempromosikan buku yang sangat bagus ini kepada semua. Setakat ini saya telah berjaya membuatkan beberapa kawan saya membeli buku ini, mungkin kerana beria-ia sangat saya jadi tukang promosi. Statistik yang dikeluarkan oleh Bank Negara menunjukkan angka yang sangat menyedihkan kerana setelah 24 tahun perbankan Islam diperkenalkan di Malaysia, ia hanya mampu menguasai 12% daripada keseluruhan pasaran perbankan dan kewangan negara.

“Tidak akan lepas dua kaki anak Adam di akhirat di hadapan Allah SWT, kecuali setelah ditanya lima perkara: Tentang umurnya ke mana ia habiskannya, tentang kepemudaan dan kepemudiannya di mana digunakan, dan tentang hartanya dari mana datangnya dan ke mana dibelanjakan, dan apakah yang dilakukan dengan ilmunya.” (Riwayat At-Tirmidzi, no 2416; Albani: Sahih)

Kebersihatan dan kesucian harta dari sudut pendapatan dan perbelanjaan amat dititik beratkan oleh Islam. Oleh itu, ilmu kewangan Islam adalah amat penting agar kita tidak tersalah langkah dalam membuat urusan kewangan peribadi. Saya senaraikan isi kandungan buku ini agar sesiapa yang mempunyai persoalan tentang perkara yang berkaitan dapat membeli buku ini ^_^.

Kandungan Buku

Bab 1 Mengapa perlu tahu tentang Halal dan Haram dalam Kewangan
Bahagian Pertama: Dalil dan Nas
Bahagian Kedua: Zuhud dan Salah Faham

Bab 2 Pengenalan kepada Ilmu Fiqh Mu’amalat

Bahagian Pertama: Kaedah asas dalam Fiqh Mu’amalat
Bahagian Kedua: Kontrak-kontrak dalam Mu’amalat Islam
Bahagian Ketiga: Rukun dan syarat jual beli dalam Islam

Bab 3 Unsur dan elemen haram dalam kewangan

Bab 4 Riba dan hukumannya
Bahagian Pertama: Erti riba
Bahagian Kedua: Jenis riba
Bahagian Ketiga: Hukuman riba dalam Islam
Bahagian Keempat: Riba dan bentuknya dalam konteks semasa
1. Riba dalam pinjaman
2. Riba dalam akaun simpanan dan pelaburan
3. Riba dalam kad kredit
4. Riba dalam insurans konvensional
5. Riba dalam jual beli perhiasan emas dan perak

Bab 5 Gharar dan Judi
Bahagian Pertama: Pengertian gharar dan dalil pengharaman
Bahagian Kedua: Jenis gharar dan tempat berlakunya
Bahagian Ketiga: Gharar dan judi dalam bentuk semasa

Bab 6 Perbezaan Perbankan Islam dan Konvensional
Bahagian Pertama: Hubungan perbankan Islam dan kepatuhan hukum Syariah
Bahagian Kedua: Tugasan majlis penasihat Syariah
Bahagian Ketiga: Proses pengesahan halal perbankan Islam dan Takaful
Bahagian Keempat: Produk perbankan Islam
Bahagian Kelima: Contoh dan bentuk produk kewangan Islam
1) Mudarabah
2) Musharakah
Bahagian Keenam: Produk Takaful (Insurans Islam)

Bab 7 Unsur Haram dalam Perniagaan dan Kerjaya Semasa
Bahagian Pertama: Kerjaya peguam dan pegawai pemasaran produk pinjaman riba
Bahagian Kedua: Menipu dalam pendapatan harta

Bab 8 Isu-isu Perbankan dan Takaful
Bahagian Pertama: Isu modal bercampur
Bahagian Kedua: Adakah perbankan Islam mahal dan zalim?
Bahagian Ketiga: Penasihat Syariah dan pertembungan kepentingan
Bahagian Keempat: Terima logo halal atau Islam tanpa kaji
Bahagian Kelima: Ubah lafaz akad bagi halalkan riba
Bahagian Keenam: Pinjaman kakitangan
Bahagian Ketujuh: Kesilapan dalam implementasi qardhul hasan
Bahagian Kelapan: Denda lambat bayar di bank Islam mirip konvensional?
Bahagian Kesembilan: Status pemilikan aset sebelum menjual

Bab 9 Harta Haram dan Cara Mengurusnya.
Bahagian Pertama: Cara melupus
Bahagian Kedua: Sedekah dengan harta haram
Bahagian Ketiga: Menggunakan harta haram untuk membina masjid
Bahagian Keempat: Adakah harta haram dapat dibersihkan dengan zakat sahaja?
Bahagian Kelima: Cara melupus wang haram daripada pelaburan haram.

Bab 10 Hutang menurut Islam

Bab 11 Isu Syariah dalam Jualan Langsung (Multi Level Marketing)
Bahagian Pertama: Pengertian MLM
Bahagian Kedua: Para ‘Ustaz’ dan MLM
Bahagian Ketiga: Beberapa keraguan Syariah dalam MLM
Bahagian Keempat: Syarat minimum Syariah bagi sesebuah MLM
Bahagian Kelima: Bentuk skim MLM alternatif dan menepati Syariah
Bahagian Keenam: Fatwa majlis ulama Indonesia berkenaan MLM

Bab 12 Beberapa Isu Kewangan dan Pelaburan Semasa
Bahagian Pertama: Pelaburan Swisscash
Bahagian Kedua: ABB Fund, Eaindex, Winlifund dan Arabic Fund: Kajian Kes
Bahagian Ketiga: Pelaburan mata wang dinar emas
Bahagian Keempat: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Bahagian Kelima: Beberapa bentuk urusniaga saham dan hukum Syariah
Bahagian Keenam: Hukum urusniaga dengan syarikat Yahudi: Makan, beli, jual

WaAllahu a'lam.

No comments: