Thursday, February 11, 2010

Kerja

Bismillahirahmanirahim...

Saya akan mula bekerja dengan KPMG secara rasminya pada 17hb February ini, selepas meminta penangguhan selama 17 hari. mengambil masa untuk berfikir dan berbincang sebelum memutuskan untuk menerima offer yang saya terima pada 20 January yang lepas. PWC, KPMG dan CIMB masing-masing mempunyai pros and cons.

Saya bimbang, pada murabbiku juga bimbang. Kisah-kisah ikhwah akhawat yang terlebih dahulu makan garam sebagai auditor di Big 4 diceritakan padaku. Kerana dakwah ini amat membutuhkan tenagamu...di sini..di tanah airmu sendiri...
kesibukan yang melampau adalah ujian yang besar kepada kethabatan.

Saya berdebar. Saya hargai nasihat dan keprihatinan semua orang. Saya tahu ada nilai kasih sayang kerana Allah dalam keprihatinan yang amat sangat itu. Setelah kita sama-sama mengenal tarbiah di bumi asing, setelah kita melihat betapa dakwah dan tarbiah mengubah hidup dan memberi makna kehidupan kepada ramai orang, kita ingin terus berkongsi.. sebagaimana kata Hasan Al Banna,
Kita juga mahu supaya bangsa kita faham bahawa mereka lebih kita sayangi daripada diri kita sendiri

Kita ada misi besar untuk bangsa dan ummat ini, kalaulah mereka mengetahui betapa besarnya cita-cita dan harapan kami.

"Orang yang hidup untuk dirinya sendiri akan hidup seperti orang yang kerdil dan mati sebagai seorang yang kerdil. Tetapi orang yang hidup bagi orang lain akan hidup sebagi orang yang 'besar' dan mati sebagai orang yang besar juga"

Syed Qutb

Saya berdoa Allah tetapkan hati saya pada jalan ini, kuat melangkah dalam apa jenis kesibukan, keletihan dan cabaran untuk melangkah ke medan amal yang sebenar, medan realiti. Saya mahu kongsikan makna hidup ini dengan hati-hati yang lain. Thabbit Qalbi..

p/s: will be in KPMG office tomorrow

Wednesday, February 10, 2010

teringat

baru dua minggu berada di rumah..

dua minggu tanpa wajah akhawat langsung..

sudah mula berkira-kira rindu, terasa kehilangan..

teringat wajah-wajah yang ditemui sewaktu kem di hulu langat akhir Januari yang lalu, wajah-wajah yang ditemui dalam tautan ukhuwwah yang mendamaikan. Pertemuan terakhir dengan mereka yang balik cuti summer sebelum mereka kembali meneruskan semester baru.

teringat Canberra juga. waktu ini adalah waktu sibuk dengan kehadiran adik-adik baru. urusan mencari rumah bagi mereka yang ada masalah dengan accomodation, urusan teman-meneman mencari barang keperluan, menunjukkan kedai-kedai, dan juga aktiviti jalan-jalan dengan mereka yang baru menjejak kaki ke bumi asing. Saya teringat Jaulah Bateman Bay February 2009!..huhu..

------------------------------------------------------------------------------

apabila balik bercuti summer saban tahun, banyak hujung minggu saya dipenuhi dengan program-program dakwah dan tarbiah. habis summer, saya kembali ke 'negeri' saya, Canberra. sy tidak rindu seperti sekarang. sekarang saya ada sindrom kehilangan. Saya rasa akhawat BFG yang lain juga merasakan perkara yang sama saat ini, terutamanya di bulan February ini, bulan yang sibuk dengan sambutan pelajar baru saban tahun. namun sekarang, di rumah tanpa berbuat apa-apa selain daripada menyumbang apa yang patut perkara perkara yang boleh dilakukan over the internet.

saya teringat orang Canberra yang masih berada di Canberra juga. teringat adik-adik, "akak minta maaf tak dapat jadi naqibah yang baik terutamanya saat-saat final exam ari tue" tulus sangat permohonan maaf ini dari hati buat mereka, kala dibisikkan pada salam wida'. Sungguh, merasakan diri sangat banyak kelemahan, dan bersalah kepada mereka. "xpe, saya faham" bisik suara itu. kadang-kadang saya terfikir kembali, naqibah juga sama-sama diuji Allah, mungkin bukan dari segi amalan jahiliah tetapi dari sudut-sudut lain yang menguji tadhiyyah daie.

apabila balik nie, banyak teringat benda-benda yang nak dibuat tetapi tak sempat nak buat, yang nak lebih bersungguh-sungguh tetapi tak cukup bersungguh-sungguh. patutlah dulu orang-orang lama selalu pesan, "buatlah sehabis baik, paling baik untuk generasi yang akan ditinggalkan, nanti balik ke Malaysia kita tidak menyesal dan teringat-ingat nak melakukan pelbagai perkara sewaktu di oversea dulu".

Saya hanya mampu berdoa dari jauh..."moga mereka semakin bahagia dalam nikmat Islam dan Iman, semakin mencintai dakwah dan tarbiah."

Tuesday, February 9, 2010

Wang, Anda dan Islam

Bismillahi rahmanirahim...


Saya membeli buku ini pada awal Januari yang lepas di MPH. Buku ini mengupas dengan terperinci konsep-konsep asas kewangan Islam dan produk-produk yang terhasil daripada dasar kewangan Islam.

Pengetahuan saya tentang kewangan Islam sebelum ini hanyalah terhad kepada konsep-konsep asas dan menghadapi masalah untuk mengaplikasinya kepada produk-produk yang ditawarkan oleh bank dan pelbagai jenis transaksi perniagaan yang ada di pasaran pada hari ini. Buku ini telah memberi penerangan dan penjelasan yang sangat jelas walaupun banyak menggunakan istilah Arab. Ayat-ayat Al-Qur'an dan Hadith yang dijadikan asas dalam mengeluarkan hukum fiqh kepada produk-produk kewangan banyak membantu kefahaman pembaca terhadap hikmah hukum yang telah ditetapkan oleh Allah.

Perundangan syariah dalam kewangan Islam (muamalat Islam) lebih bersifat adil dan melindungi pihak pelanggan yang tidak mempunyai banyak pilihan selain daripada bersetuju untuk menandatangani syarat-syarat yang ditetapkan oleh bank setiap kali menggunakan produk atau perkhidmatan bank. Muamalat Islam akan menawarkan perkhidmatan dan produk yang distruktur khas untuk melindungi kepentingan pengguna (pelanggan) dan pada masa yang sama turut memberi keuntungan yang sepatutnya kepada pihak penjual, bank, pemiutang dan sebagainya. Namun, ramai penganut Islam sendiri mempersoalkan kenapa perbankan Islam lebih mahal daripada perbankan konvensional. Mereka sebenarnya terlupa untuk melihat secara keseluruhan dan jangka masa panjang yang jelas menunjukkan perbankan Islam lebih murah dan adil.

Saya tidak bercadang untuk menulis tentang produk-produk kewangan secara terperinci di sini, tetapi saya sangat ingin mempromosikan buku yang sangat bagus ini kepada semua. Setakat ini saya telah berjaya membuatkan beberapa kawan saya membeli buku ini, mungkin kerana beria-ia sangat saya jadi tukang promosi. Statistik yang dikeluarkan oleh Bank Negara menunjukkan angka yang sangat menyedihkan kerana setelah 24 tahun perbankan Islam diperkenalkan di Malaysia, ia hanya mampu menguasai 12% daripada keseluruhan pasaran perbankan dan kewangan negara.

“Tidak akan lepas dua kaki anak Adam di akhirat di hadapan Allah SWT, kecuali setelah ditanya lima perkara: Tentang umurnya ke mana ia habiskannya, tentang kepemudaan dan kepemudiannya di mana digunakan, dan tentang hartanya dari mana datangnya dan ke mana dibelanjakan, dan apakah yang dilakukan dengan ilmunya.” (Riwayat At-Tirmidzi, no 2416; Albani: Sahih)

Kebersihatan dan kesucian harta dari sudut pendapatan dan perbelanjaan amat dititik beratkan oleh Islam. Oleh itu, ilmu kewangan Islam adalah amat penting agar kita tidak tersalah langkah dalam membuat urusan kewangan peribadi. Saya senaraikan isi kandungan buku ini agar sesiapa yang mempunyai persoalan tentang perkara yang berkaitan dapat membeli buku ini ^_^.

Kandungan Buku

Bab 1 Mengapa perlu tahu tentang Halal dan Haram dalam Kewangan
Bahagian Pertama: Dalil dan Nas
Bahagian Kedua: Zuhud dan Salah Faham

Bab 2 Pengenalan kepada Ilmu Fiqh Mu’amalat

Bahagian Pertama: Kaedah asas dalam Fiqh Mu’amalat
Bahagian Kedua: Kontrak-kontrak dalam Mu’amalat Islam
Bahagian Ketiga: Rukun dan syarat jual beli dalam Islam

Bab 3 Unsur dan elemen haram dalam kewangan

Bab 4 Riba dan hukumannya
Bahagian Pertama: Erti riba
Bahagian Kedua: Jenis riba
Bahagian Ketiga: Hukuman riba dalam Islam
Bahagian Keempat: Riba dan bentuknya dalam konteks semasa
1. Riba dalam pinjaman
2. Riba dalam akaun simpanan dan pelaburan
3. Riba dalam kad kredit
4. Riba dalam insurans konvensional
5. Riba dalam jual beli perhiasan emas dan perak

Bab 5 Gharar dan Judi
Bahagian Pertama: Pengertian gharar dan dalil pengharaman
Bahagian Kedua: Jenis gharar dan tempat berlakunya
Bahagian Ketiga: Gharar dan judi dalam bentuk semasa

Bab 6 Perbezaan Perbankan Islam dan Konvensional
Bahagian Pertama: Hubungan perbankan Islam dan kepatuhan hukum Syariah
Bahagian Kedua: Tugasan majlis penasihat Syariah
Bahagian Ketiga: Proses pengesahan halal perbankan Islam dan Takaful
Bahagian Keempat: Produk perbankan Islam
Bahagian Kelima: Contoh dan bentuk produk kewangan Islam
1) Mudarabah
2) Musharakah
Bahagian Keenam: Produk Takaful (Insurans Islam)

Bab 7 Unsur Haram dalam Perniagaan dan Kerjaya Semasa
Bahagian Pertama: Kerjaya peguam dan pegawai pemasaran produk pinjaman riba
Bahagian Kedua: Menipu dalam pendapatan harta

Bab 8 Isu-isu Perbankan dan Takaful
Bahagian Pertama: Isu modal bercampur
Bahagian Kedua: Adakah perbankan Islam mahal dan zalim?
Bahagian Ketiga: Penasihat Syariah dan pertembungan kepentingan
Bahagian Keempat: Terima logo halal atau Islam tanpa kaji
Bahagian Kelima: Ubah lafaz akad bagi halalkan riba
Bahagian Keenam: Pinjaman kakitangan
Bahagian Ketujuh: Kesilapan dalam implementasi qardhul hasan
Bahagian Kelapan: Denda lambat bayar di bank Islam mirip konvensional?
Bahagian Kesembilan: Status pemilikan aset sebelum menjual

Bab 9 Harta Haram dan Cara Mengurusnya.
Bahagian Pertama: Cara melupus
Bahagian Kedua: Sedekah dengan harta haram
Bahagian Ketiga: Menggunakan harta haram untuk membina masjid
Bahagian Keempat: Adakah harta haram dapat dibersihkan dengan zakat sahaja?
Bahagian Kelima: Cara melupus wang haram daripada pelaburan haram.

Bab 10 Hutang menurut Islam

Bab 11 Isu Syariah dalam Jualan Langsung (Multi Level Marketing)
Bahagian Pertama: Pengertian MLM
Bahagian Kedua: Para ‘Ustaz’ dan MLM
Bahagian Ketiga: Beberapa keraguan Syariah dalam MLM
Bahagian Keempat: Syarat minimum Syariah bagi sesebuah MLM
Bahagian Kelima: Bentuk skim MLM alternatif dan menepati Syariah
Bahagian Keenam: Fatwa majlis ulama Indonesia berkenaan MLM

Bab 12 Beberapa Isu Kewangan dan Pelaburan Semasa
Bahagian Pertama: Pelaburan Swisscash
Bahagian Kedua: ABB Fund, Eaindex, Winlifund dan Arabic Fund: Kajian Kes
Bahagian Ketiga: Pelaburan mata wang dinar emas
Bahagian Keempat: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Bahagian Kelima: Beberapa bentuk urusniaga saham dan hukum Syariah
Bahagian Keenam: Hukum urusniaga dengan syarikat Yahudi: Makan, beli, jual

WaAllahu a'lam.

Sunday, February 7, 2010

The Idea of Money

Assalamualaikum wbt

Satu fenomena menarik yang dapat kita perhatikan di dunia ini ialah para jutawan dan billionaire bukanlah daripada golongan yang berpendidikan tinggi. Malah, ramai jutawan yang disenaraikan oleh majalah Forbes tidak pernah menerima ijazah dari mana-mana universiti. Bill Gates, Liliane Bettencourt (Loreal), Madonna, Michael Jordan, Syed Mokhtar Al-Bukhary......

Jika ini fenomenanya, mengapa para ibu bapa menasihati anak-anak mereka untuk belajar bersungguh-sungguh agar dapat masuk ke universiti? Mereka berpendapat bahawa pendidikan universiti akan menjamin perkerjaan yang bagus dan seterusnya masa depan yang senang. Pekerjaan yang menawarkan kestabilan, pembiayaan rawatan perubatan, pencen dan lain-lain faedah sampingan lebih menjadi pilihan para graduan kerana ia dikatakan akan menjamin masa depan yang lebih baik. Mereka akan dibayar gaji tetap pada setiap bulan dan tidak terdedah kepada risiko tiada pendapatan masuk pada setiap hujung bulan.

Golongan graduan dan professional yang memilih jalan selamat, kerja bergaji tetap tidak akan merasa risiko ketidakstabilan kewangan sebagaimana yang dihadapi oleh orang yang bekerja sendiri. Walau bagaimanapun, with high risk comes high return, golongan yang bekerja sendiri mempunyai peluang yang besar untuk berjaya dalam perusahaannya dan menikmati hidup yang jauh lebih senang daripada graduan universiti yang bergaji tetap daripada majikan.

Dalam dunia realiti, golongan cerdik pandai dan professional adalah golongan yang berkerja untuk membayar hutang. Pendapatan sederhana yang mereka terima menyebabkan mereka tidak mempunyai cara lain untuk memiliki keperluan seperti kereta dan rumah selain daripada dengan cara berhutang. Mereka menyangka kereta dan rumah yang mereka beli secara ansuran dan dalam proses pembayaran adalah asset mereka, sedangkan itu sebenarnya adalah liabiliti bagi mereka. Keadaan ini sangat jelas dapat dilihat apabila mereka kehilangan perkerjaan atau gagal membayar ansuran bulanan rumah atau kereta untuk beberapa ketika, lantas barang yang disangka sebagai asset itu diambil (re-possess) oleh bank, lalu dilelong kepada orang lain. Isu Supreme Mortgage yang menjadi faktor utama kepada krisis ekonomi Amerika 2008 telah menyaksikan kesengsaraan ramai golongan professional dan kelas pertengahan. Mereka terpaksa menyerahkan rumah-rumah mewah dan kereta-kereta besar yang disangkakan asset kepada bank untuk dilelong ekoran kegagalan membayar hutang. Pada suatu ketika mereka menyedari hampir semua barang-barang kebanggaan mereka bukanlah milik mereka sebenarnya.

Asset adalah barang-barang yang telah menjadi milik penuh pemiliknya, iaitu jika ia dibeli secara berhutang, maka ia hanya benar-benar menjadi asset seseorang setelah segala hutang selesai dibayar. Kereta dan rumah kediaman adalah kategori asset yang susut nilai dimana nilai pasarannya akan semakin berkurangan apabila usia penggunaanya meningkat. Definisi asset yang sebenar ialah harta yang telah menjadi milik penuh seseorang dan ia mendatangkan income (pendapatan) yang tetap samada secara bulanan atau tahunan kepada pemiliknya. Contoh asset adalah rumah yang disewakan, saham-saham yang dipegang dalam syarikat perniagaan dan pelaburan.

Orang kaya dan jutawan mahir tentang konsep wang dan asset. Mereka membeli asset-asset yang akan memberikan pulangan pendapatan tetap setiap bulan, tahun dan sebagainya. Pelaburan dalam projek-projek pembangunan atau pelaburan di bank adalah antara contoh pengurusan kewangan yang cemerlang kerana wang ini akan berkembang dan menghasilkan pendapatan kepada pemiliknya. Nilai asset (pelaburan) akan semakin bertambah dari semasa ke semasa. Cara yang terbaik untuk mengembangkan asset adalah dengan terlibat dalam perniagaan sebagaimana yang digalakkan oleh junjungan Rasul SAW sendiri, "9/10 daripada rezeki di atas muka bumi adalah melalui perniagaan".

Individu yang bercita-cita untuk menambah asset hendaklah berusaha mengurangkan jumlah liabilitinya iaitu dengan mengurangkan hutang dan juga mengurangkan jumlah perbelanjaan. Perkara yang termasuk dalam kategori perbelanjaan ialah cukai, makanan, sewa, pakaian dan sebagainya. Tax is recorded as the highest single expense being paid out from each American citizen's income. Cukai sebenarnya boleh dikurangkan jika tahu memanfaatkan segala peruntukan pengecualian dan deduction.

Jumlah wang yang boleh dilaburkan untuk membeli asset dapat dikumpulkan dengan mengurangkan jumlah perbelanjaan, atau dengan kata lain berjimat cermat.

Robert Kiyosaki yang juga seorang millionaire tidak menyarankan semua penduduk bumi berhenti daripada kerja dan terlibat dengan perniagaan. Beliau berpendapat bahawa golongan cerdik pandai dan professional boleh meneruskan kerjaya asal mereka, namun pada masa yang sama memperuntukkan duit untuk membeli real asset dan membuat pelaburan. Beliau menasihatkan agar tidak memilih untuk tidak melabur kerana ketidakcukupan wang ketika muda belia kerana ia akan menyebabkan kita bukan sahaja kerugiaan untung (profit) tetapi turut kehilangan pengalaman pelaburan.

Financial literacy iaitu keupayaan memahami angka-angka, asset, pendapatan liabiliti dan perbelanjaan dikatakan sebagai sangat penting bagi semua orang kerana ia dapat mengelakkan mereka daripada terlibat dengan hutang secara berterusan sepanjang hayat kerana membeli satu demi satu 'asset' secara berhutang. Realiti menujukkan ramai orang yang tidak memasuki universiti mempunyai financial literacy yang lebih tinggi daripada graduan universiti termasuklah para akauntan sendiri.

Rujukan:
Rich Dad Poor Dad - What the Rich Teach Their Kids About Money - That the Poor and Middle Class Do Not!, by Robert Kiyosaki & Sharon L. Lechter. First published in 2000