Saturday, September 12, 2009

Ramadhan Kian Berlalu

Bismillahi rahmanirahim~

Sedar tak sedar, Ramadhan sudah pun berpenghujungnya.
Subhanallah, cepat masa berlalu.

Ramadhan berada di penghujungnya pada saat semester akan berakhir. Semester akan berakhir bermakna banyak ulangkaji yang perlu dibuat dan sangat banyak assignment dan project submission juga. Cabaran yang akan menguji kita untuk sejauh mana bertahan untuk tidak meninggalkan terawikh, untuk tadarus dan juga qiam setiap hari.

Hari ini cabarannya adalah belajar, esok cabarannya mungkin kerja, lusa mungkin cabarannya tanggungjawab pada keluarga. Jika mahu menjadikan alasan cabaran dan kesibukan sebagai sebab untuk tidak menambah amal, maka kita akan sentiasa mempunyai alasan sehingga akhir hayat.

Moga pengakhiran Ramadhan ini dapat dimaksimumkan untuk menambah amal dan bekal.
Mujahadah dalam kesibukan akademik (bagi sesetengah orang) yang sangat menduga. Pasang azam dan tekad untuk menambah amal walaupun kelihatan seperti agak mustahil, insyaAllah Allah permudahkan. Percayalah!

Lantas berdisiplinlah dalam perancangan masa dan bersungguhlah dalam menggerakkan sendi dan tulang, insyaAllah Allah berikan kekuatan. Percayalah!

Yang penting sejauh mana hati kita mahu dan sejauh mana kita sebenarnya rela untuk melakukan ibadah dalam keadaan kesuntukan waktu, tenaga dan psikologi yang dialami. Pohonlah padaNya dengan ikhlas untuk diberikan kekuatan dan kemampuan. Dia berikan. Percayalah!

Ganjaran dari Allah berbeza, antara orang yang beribadah kepadaNya pada masa senang dan lapang dan orang yang beribadah pada masa susah dan sempit. Teringat sepotong ayat dalam Surah Al- Hadid, ayat 10,

"tidak sama orang yang menginfakkan (hartanya di jalan Allah) di antara kamu dan berperang sebelum penaklukan Mekah. Mereka lebih tinggi darjatnya daripada orang-orang yang menginfakkan (hartanya) dan berperang setelah itu"
Harapnya dapat jadi inspirasi buat mereka yang merasakan banyak cabaran dan susah untuk "berjuang" di akhir Ramadhan ini untuk berusaha menamba amal tanpa menunggu masa lapang dan masa senang pada tahun-tahun hadapan (yang belum tentu juga ada).

"Malam lailatul Qadr itu lebih baik dari seribu bulan." (Surah Al-Qadr: 3)

Hari-hari terakhir untuk kita lebih bersungguh memohon ampun padaNya, menundukkan hati dan mendekatkan diri padaNya. Peluang untuk berdoa dan mengadu segalanya pada Dia.

"Sesiapa yang beribadah pada Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada keredhaan Ilahi, nescaya dia akan diampuni segala dosanya yang lampau." (Hadith Riwayat Muslim)

Terdapat satu doa ma'thur yang diajarkan oleh Rasulullah SAW berbunyi, "Ya Allah, Allahumma innaka 'afuwwul karim tuhibbul 'afwa fa'fuanni" yang bermaksud "Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Tuhan Yang Maha Pemaaf lagi Pemurah, yang suka memberi kemaafan, maka maafkanlah aku." Elok kita tambahkan lagi doa selepas memohon ampun agar Allah menjaga kita daripada melakukan dosa-dosa dan terus membimbing kita pada masa hadapan. Sukar sebenarnya untuk istiqamah atas kebaikan dan tidak melakukan perkara-perkara yang kurang disenangiNya tanpa pertolongan dan bimbingan dari Allah sendiri ke atas diri kita.

Moga kita keluar dari madrasah Ramadhan dengan dosa yang terampun, rahmat yang menaungi dan hidayah Allah untuk terus menjaga diri dari perkara-perkara yang tidak diredhaiNya pada masa akan datang.

Barakallahi fiikum~
Kullu aam waantum bikhair.

3 comments:

'iza rahman said...

semoga hati kita bersih dr segala dosa insyallah....

Thuaibah said...

insyaAllah,
jom tonite last terawikh then esok dh boleh buat solat tasbih and takbir raya=).

p/s:I would miss the terawikh and suara imam2 kt sini next yearS~

Suhana Amiril said...

Assalamu'alaikum..

Hai kak Thua! ^_^

Ramadhan dah berlalu.. Hari raya pulak dah menjelma.. Erm, mana duit raya nie? hee~

kak thua.. kak thua!

Doa tu.. --> Ya Allah, Allahumma innaka 'afuwwul karim tuhibbul 'afwa fa'fuanni"

ada pembetulan sikit..

'afuwwul karim = 'afuwwun karim

fa'fuanni = fa'fu'anni

semangat! semangat! semangat!
=D