Saturday, February 26, 2011
Teori Domino
Saya tak tahu sangat teori nie pasal apa. Tapi mak asyik duk sebut pasal teori nie sejak beberapa hari nie, dia kata lecturer dia ajar masa dia amik paper komunis masa kat universiti dulu. Teori nie ada dibincangkan dalam buku tulisan Karl Marx.
Saya malas nak wt further reading tentang nie, tp saya rasa teori nie menarik berdasarkan sembang2 dengan mak kat dapur.
Teori nie ialah teori Komunis, maksudnya kalo kita "usik" satu, atau satu "terusik" habis yang lain terusik. Dia buat perumpamaan Kotak Mancis (saya tak tahu kisah Kotak Mancis nie digunakan dalam teori komunis tersebut atau hanyalah digunakan oleh mak saya sebagai contoh). Kalo kita usik satu batang mancis yang tersusun, semua yang lain akan jatuh satu persatu tanpa dapat ditahan-tahan lagi.
Mak saya merujuk kepada keadaan dunia sekarang, apa yang berlaku kat timur tengah dan afrika lah, sekarang Libya dan Bahrain seolah-olah merupakan salah satu dari mancis yang tersusun menurut teori tersebut.
Kerana terlalu yakin dengan teori tersebut, Komunis ada tersilap langkah, akhirnya mereka tak sempat nak kuasai seluruh dunia juga.
Sunday, February 13, 2011
Dan Jumaat ini menjadi Saksi
Assalamualaikum..
Alhamdulillah, diktaktor 30 tahun berundur. Mereka di Tahrir Square pun ramai yang tidak percaya beliau boleh berundur, walaupun selepas Jumaat ke-dua mereka telah bertekad, "He down, or we die".
Saya rasa seluruh dunia kagum dengan apa yang berlaku di Mesir. Kenyataan pemimpin-pemimpin dunia banyak menyatakan kekaguman terhadap ''kuasa rakyat''.
Saya paling kagum apabila juta-juta manusia berkumpul di pelbagai tempat di seluruh Mesir, tp dalam keadaan aman, tiada bangunan dan kereta dibakar selain daripada balai polis dan pejabat parti mubarak.
Kita selalu lihat biasanya, apabila wujud demostrasi mesti berlaku kekacauan yang sungguh menjengkelkan. Tp semua orang yang celik tahu biasanya ia berpunca dari pemerintah (baca: mata-mata agent pemerintah) yang diarah utk membuat provokasi supaya nanti nampak penunjuk perasaan adalah manusia-manusia yang sukakan keganasan. Begitulah imej hampir di seluruh dunia terutama di negara-negara dunia ke-tiga. Di Malaysia pun apa kurangnya, sampai demonstrasi pasca-reformasi 1998, penganjur akan keluarkan peringatan kepada penunjuk perasaan untuk tidak turut serta jika nampak ada orang mula memecahkan itu ini, mula menyerang polis/FRU dll kerana mereka telah belajar dari pengalaman lepas bahawa terdapat orang-orang yang diupah untuk membuat provokasi. Saya pernah baca juga agar lapor kepada wakil penganjur jika ada tindakan-tindakan memulakan keganasan dilakukan, dan paling menarik, terdapat gambar-gambar agent yang berjaya ditangkap kerana cuba melakukan provokasi. Semuanya hasil kesepaduan orang ramai yang mahu berdemonstrasi secara aman. Itu yang penunjuk perasaan di Malaysia belajar dari pengalaman-pengalaman demonstrasi yang lepas.
Namun, kita di Malaysia paling ramai pun 100,000 orang berdemonstrasi, itu pun saya tengok nak kekal jadi aman agak sukar, kerana akan ada pihak yang akan ambil kesempatan melakukan pelbagai perkara supaya memberi nama buruk kepada penunjuk perasaan.
Tapi di Mesir, berjuta-juta orang menunjuk perasaan di pelbagai tempat di seluruh negara. Saya sangat kagum bagaimana mereka boleh kekal tidak memberontak selepas saudara mereka dibunuh (hampir 300 orang mati sewaktu awal demonstrasi), mereka juga bersatu jaga keselamatan kampung dan bandar selepas polis membuka penjara dan membebaskan banduan agar banduan membuat kacau (tanyalah pelajar Malaysia yang balik dari Mesir, mesti mereka akan cerita yang ramai dari mereka juga berjaya malam untuk jaga kawasan), spontan membuat benteng manusia menghalang pencuri yang menceroboh Muzium Kaherah (dimana harta-harta, mumia dan Khazanah Firáun banyak disimpan) daripada keluar lantas menyerahkan mereka kepada tentera, dan sebenarnya nak kawal juta-juta orang nie bukan senang. Ada wartawan Malaysia yang pergi ke sana membuat liputan "Operasi Piramid" ditahan 6 kali dalam jarak perjalanan dari Lapangan Terbang ke Hotel terdekat oleh penunjuk perasaan dengan tujuan hanya satu, mahu periksa barang samada ada barang-barang merbahaya dan tajam dibawa atau tidak. Mereka mahu memastikan tiada orang masuk ke "Tahrir Square" bawa benda-benda merbahaya dan buat kacau. Tapi kita semua tahu bahawa untuk melakukan semua ini selama 18 hari tidak mudah kerana orang sangat ramai.
Saya puji tindakan tentera, namun saya terfikir juga, kenapa tentera Mubarak ini boleh menjadi agak professional sedangkan para pemimpin atasannya adalah orang-orang kepercayaan diktator Mubarak juga?
Saya terpinga-pinga melihat sangat ramai wanita muda dan tua, lelaki dewasa dan tua menangis dan mencium tentera meraikan kejatuhan Mubarak, lelaki pun boleh jadi sampai begitu sekali kerana Mubarak? Lantas saya terfikir, adakah hampir semua rakyat Mesir pernah merasa secara langsung peritnya kejahatan tangan Mubarak?. Saya tahu tentang rejim Mesir suka menangkap orang tanpa sebab dan orang tersebut boleh hilang begitu sahaja (sama seperti Israel di Palestine). Adakah semua mereka yang menangis ini pernah merasai pengalaman adik, anak, suami, ayah atau datuk mereka menjadi salah satu mangsa lantas mereka mendapat kesan langsung? Tangisan mereka membuat saya sangat tertanya-tanya..
Dan Jumaat ke tiga, 11 February 2011 menjadi saksi keikhlasan mereka, menjadi bukti doa orang yang dizalimi dan memberikan mereka amanah yang lebih besar untuk mencorakkan sendiri masa depan yang lebih baik. Cabaran masih getir untuk membuang budaya tidak demokratik, korupsi dan pelbagai lagi yang berakar umbi dalam jabatan-jabatan kerajaan dan keseluruhan sistem kerana sejarah kezaliman Mesir bukan hanya bermula di zaman Presiden Hosni Mubarak, malah juga dari Presiden sebelumnya, Anwar Sadat, Gamal Abdul Nasir dll. Mesir juga adalah negara yang Amerika, Israel dan Barat sangat berminat untuk campur tangan menentukan dasar-dasar utama dan corak pemerintahan negara, jadi mereka akan mengatur dengan penuh licik agar orang-orangnya berada di kerusi Presiden dan jawatan-jawatan penting negara. Semua orang mesti bijak, bijaksana dan sabar.
Harapan paling kecil saya ialah agar Mesir dapat melonggarkan sekatan sempadan Palestine, lalu rakyat Palestine dapat lebih banyak bekalan makanan dan ubat-ubatan.
Friday, February 11, 2011
Jumaat, Rakyat dan Malaikat
Hari Jumaat yang mulia, penghulu segala hari, hari yang Allah menjanjikan banyak kelebihan berbanding hari yang lain. Hari yang amat ditunggu-tunggu bagi sesetengah kaum muslimin dan juga hari yang amat menakutkan bagi sesetengah yang lain.
Jika kita lihat fenomena di Mesir sejak "Peristiwa Kebangkitan Rakyat" bermula 25 Januari 2011, hari Jumaat setiap minggu adalah hari yang lebih bersemangat dan akan ada tindakan-tindakan dan perkembangan yang lebih besar berbanding hari-hari yang lain. Selepas Solat Jumaatlah mereka akan melakukan sesuatu tindakan besar yang telah dirancang, yang membuatkan Amerika dan Israel juga tidak senang duduk.
Saya teringat Buku "Kill Khalid" yang pernah saya baca, tentang cubaan membunuh Khalid Mishal (Ketua Biro Politik Hamas). Agen Mossad mencucuk cecair beracun ke badan Khalid Mishal lebih kurang pukul 10 pagi hari Khamis. Khalid Mishal berada di Jordan sewaktu cubaan membunuh itu dilakukan. Cecair beracun yang dikatakan tiada penawar itu akan membunuh Khalid Mishal dalam masa 24 jam, dia dijangka meninggal pada pukul 10 pagi hari Jumaat. Sebaik sahaja berita cubaan membunuh ini sampai kepada Raja Jordan pada sebelah petang Khamis, beliau terus menghubungi Presiden Mossad, Presiden Israel dan juga Presiden Amerika (Bill Clinton), mendesak Israel menghantar penawar dengan ayat yang (bagi saya amat mengesankan),
"Jika dia meninggal pada pukul 10 pagi esok (Jumaat), solat Jenazah akan diadakan selepas Solat Jumaat, jutaan penduduk Jordan dan Palestin akan keluar menunaikan solat tersebut, dan kerajaan Jordan (dan kuasa Raja Jordan) akan jatuh pada petang esok (kepentingan Israel dan Amerika juga akan terkubur bersama jatuhnya Dinasti Diraja Jordan dan Kerajaan Jordan)".
Ayat inilah yang akhirnya membuat Mossad dan Amerika menghantar penawar racun itu. Raja Jordan tahu bahawa rakyat akan mengamuk dan menuduh Kerajaan Jordan terlibat dalam rancangan membunuh Khalid Mishal. Raja Jordan amat marah kerana Mossad silap percaturan. Penguasa negara-negara Arab sangat tahu bagaimana kuasa hebatnya kuasa rakyat memberontak dan hari Jumaat amatlah digeruni.
Kisah Jumaat dari Mesir hari ini pula adalah tentang imej malaikat bersama para demonstrator. Adakah imej malaikat boleh dirakam di dalam kamera? Bagaimana pula dengan imej hantu yang kerap didengari berjaya dirakam di dalam kamera? Wa Allahu'alam.
"Jika ada pihak yang cuba merasional objek tersebut sebagai cahaya lampu kebetulan, atau foto superimpose dan sebagainya, ia tidak menafikan hakikat bahawa sejarah dan Al-Quran telah menyebut bahawa ia adalah suatu perkara yang telah, sedang dan akan berlaku. Itu sudah memadai sebagai pengajaran dan peneguh jiwa untuk kita." (Ust Halim, IniJalanku)
“Sesungguhnya orang-orang yang berkata,’Tuhan kami adalah Allah’, kemudian mereka istiqamah, turun Malaikat kepada mereka (seraya berkata),’Jangan sekali-kali kamu takut dan jangan bersedih hati. Gembiralah dengan berita Syurga yang dijanjikan kepada kamu’. Kami adalah wali-wali (teman dan pelindung) kamu didalam kehidupan di dunia dan Akhirat. Kamu mendapat apa yang diinginkan oleh jiwa-jiwa kamu … “ (Surah Fussilat : 30-31).
Tuesday, February 8, 2011
Not Goodbye Yet
Walaupun dah officially resign, tp still belum habis buat "clearance".
Some pictures during my final days~
Cuba bilang ada berapa auditor "menggeledah" financial document?
Monday, February 7, 2011
Terfikir tak?
Tidakkah kita merasa pelik akan tindakan Ikwanul Muslimin yang tidak mahu mengambil jawatan sebagai presiden? Sedangkan melalui krisis ini Ikhwanul Muslimin boleh mendapat kuasa dan laba politik yang besar! Kuasa yang mereka akan peroleh itu membolehkan mereka menghapuskan korupsi dan merubah media dan generasi muda?
IniJalanku~satu pencerahan yang amat baik~
Tuesday, February 1, 2011
Some Words ( 2 )
Kebangkitan Rakyat Mesir (Arab), Pendirian Ikhwan dan Dimensi Perubahan
Jangkaan bahawa Mesir akan meletup bila-bila masa bukan satu cakap-cakap yang baru. Ia telah diperkatakan semenjak 5 atau 6 tahun lalu. Cuma bila masa yang tepat dan apa pencetusnya sahaja tidak diketahui. Negara yang diperintah secara kekerasan dan sistem satu parti ini sudah lama bengkrap.
Oleh itu saya tidak terkejut langsung dengan apa yang berlaku, bahkan beberapa kali dalam tulisan saya, saya nyatakan bahawa tempoh rejim lama ini sudah berakhir sah lakunya. Hubungan dengan rakyat semakin hari semakin merenggan. Pemerintah di satu lembah dan rakyat dilembah yang lain. Pemerintah berkerja untuk dirinya dan rakyat hidup tertakan, kelaparan, dan ketakutan.
Pemulihan penuh sepatutnya berlaku. Namun kebanyakan pemimpin leka, rasa aman dengan kawalan keselamatan yang ketat dan permainan kertas siasah tertentu diperingkat antarabangsa. Saya lihat ini adalah pelajaran yang menyeluruh untuk semua pemerintahan berasaskan “nasionalis sekular” tidak kira dimana sahaja termasuk di Malaysia.
Kita juga dapat lihat tekanan yang berlaku kepada pemeritahan di Malaysia. Kesannya perubahan besar telah berlaku keatas dasar kerajaan demi menjamin survival. Secara politik saya puji pemerintah Malaysia kerana cepat bertindak. Walaupun saya masih menganggap ia menuju arah yang salah. Sepatutnya parti-parti Melayu (pemerintah dan pembangkang) mengambil kesempatan, mencari kata sepakat kearah mengukuhkan kedudukan politik orang Islam di Malaysia daripada tersu menari mengikut rentak musuh.
Perubahan pasti akan berlaku; samada kita akan terus jauh dari landasan atau kembali kepangkal jalan (Islam). Tetapi malangnya kini tiada siapa yang boleh bersikap rasional…politik Melayu akan menuju arah sukar, kalah jadi abu menang jadi arang.
Terdapat perbezan ketara antara parti politik Mesir dan kebanyakan Negara-negara arab berbanding dengan Malaysia. Parti pemerintah di Malaysia walaupun banyak kritikan tetapi merupakan sebuah parti yang mempunyai agenda dan perojek pembangunan. Berbanding parti-parti pemerintah di negara arab yang bengkrap idea dan tidak ada projek pembangunan, bahkan setenaghnya hidup atas tajaan atau perlindungan kuasa luar.
Berbalik kepada perkembangan di Mesir kini, bagi saya penyelesaianya tidak semudah yang dijangka sebab politik dalaman Mesir sangat berkait rapat dengan kedudukannya yang strategi diarena percaturan politik antarabangsa terutamanya keamanan Israel.
Sangat sukar untuk kita andaikan penyelesaian yang ideal akan dapat diambil. Yang paling munasabah ialah perubahan sistem daripada dictatorship atau sistem satu parti (syumuli) kepada sistem terbuka berbilang parti dan mengadakan pilihanraya yang bersih. Mubarak dan regim lama harus berundur.
Namun masalahnya nanti ialah siapa yang akan mengganti?. Di medan tiada siapa yang boleh menyaingi kekuatan Ikhwan. Jika diadakan pilihanraya yang bebas tentu Ikhwan akan dapat menguasai semua kursi yang ia tandingi. Persoalannya adakah kuasa besar seperti Amerika dan Israel akan membenarkan Ikhwan sampai ketampuk pemerintahan? Atau adakah Ikhwan sendiri pada perhintungan mereka bersedia untuk memikul tanggungjawab berat dan ancaman digagalkan.
Amerika dan Israel tentu sekali tidak akan membenarkan wujud kuasa yang mereka anggap akan menancam kepentingan dan keselamatan mereka.
Dan daripada apa yang saya faham dari sifir Ikhwan dan kenyataan yang dibuat oleh pemimpin mereka, Ikhwan tidak bersedia untuk itu. Ini kerana ia akan berhadapan menanggung beban ekonomi Mesir yang sangat berat dalam keadaan terpaksa menangani krisis pertembungan strategi yang langsung dengan kuasa besar dan kemungkinan dipulau sangat besar.
Jika diandaikan Ikhwan berfikir untuk menyanggupi tanggungjawab seperti itu ia perlu bantuan dari negara-negara jiran yang sanggup menyokong. Rasanya pemerintah yang sedia ada tidak akan menyokong Ikhwan. Sebab itu adalah satu munasabah Ikhwan di Mesir untuk peringkat ini tidak mencalunkan diri mereka kejawatan presiden.
Antara cabaran besar Ikhwan untuk ketampuk kuasa juga ialah hubungan dengan Israel. Tidak tergambar dalam fikiran bahawa Ikhwan akan meneruskan dasar sedia ada yang mengiktiraf Israel. Perubahan dasar itu akan merubah kedudukan Mesir dari negara sekutu kepada musuh yang mengancam. Jadi secara tiorinya tiada pilihan ideal untuk Ikhwan. Untuk setakat ini penyelesaian terbaik bagi Ikhwan dan Mesir ialah kerajaan campuran yang luas yang tidak menampilkan Ikhwan sebagai pemain utama atau dibarisan hadapan.
Namun ia adalah pencapai yang sangat tawadho’. Adakah gerakan Islam sekali lagi rela untuk membiarkan pegorbanan rakyat dituai oleh golongan sekular pro barat?. Ala kulli hal tidak akan ada penyelesaian mudah dan pergolakan akan terus berlaku. Adalah suatu yang tidak dapat ditolak kemungkinan gerakan Islam mengambil keputusan nekad untuk membuat perubahan total biar apa pun pengorbanan yang terpaksa dibuat.
Jika dilihat dari dimensi strategi yang lebih menyeluruh, kebangkitan rakyat yang merebak keseluruh dunia Arab sepatutnya diistithmar (labur) dengan baik oleh gerakan Islam untuk membuat perubahan yang lebih total. Pendirian tawadho’ Ikhwan Mesir mungkin tidak menasabah dalam kontek perkembangan serantau. Gerakan Islam sepatutnya bergerak dalam skop yang lebih luas, menyeluruh serta terselaras untuk membuat kebangkitan serentak.
Walaupun terlalu awal untuk meramal, saya ingin memberi ingatan bahawa jika krisis ini tidak tertangani dengan baik dan adil, ia akan merebak lebih luas dan perang besar akan berlaku dirantau Asia Barat.
Some Words ( 1 )
Kebangkitan Rakyat Mesir : Saat Sekutu Israel Dijatuhkan Allah
- Mesir dikenali bukan kerana piramidnya. Ini kerana binaan yang menakjubkan bukan sahaja wujud di Mesir, tetapi juga di Indonesia dengan Candi Borobudur, di China dengan Tembok Besar, Patung Zues di Olimpia, Greek dan banyak lagi binaan-binaan lain di seluruh dunia. Bukanlah kemuliaan dan kehebatan Mesir di kehebatan binaan piramidnya yang lebih merupakan lambing kezaliman penguasa terdahulu terhadap rakyatnya di zaman tersebut.
- Sesungguhnya kehebatan Mesir ialah kerana Universiti al-Azhar yang diasaskan pada tahun 970M. Itulah hebatnya Mesir. Bumi anbiya’ yang dipilih Allah SWT untuk menjadi tuan rumah kepada universiti tertua di dunia ini telah melahirkan generasi ulama terbilang yang bertebaran menyebarkan ilmu ke serata dunia. Atas kemuliaan ini, pemimpin Mesir sewajarnya terdiri daripada mereka yang mempunyai komitmen dengan Islam.
- Sayangnya, Mesir hari ini ditadbir oleh rejim diktator yang sedikitpun tidak mencerminkan kemuliaan Universiti al-Azhar. Lihatlah bagaimana Syed Qutb telah dibunuh dengan kejam hanya kerana menulis kitab Maalim fit Tariq dan tafsir Fil Zilal al-Quran. Sekalipun dibunuh atas tuduhan memberontak, beliau tetap dipuji oleh ulama-ulama terkemudian seperti Syeikh Mutawalli Sya’rawi dan Dr. Zaghloul Najjar. Kedua-dua ulama ini setiap kali menyebut nama Syed Qutb pasti akan diikuti dengan rahimahullah rahmatan wasiatan (semoga Allah merahmatinya dengan rahmat yang luas).
- Kezaliman rejim Hosni Mubarak di Mesir terbukti dengan kemenangan besarnya yang dicemari dengan penyelewengan besar-besaran setiap kali diadakan pilihanraya. Kemenangannya yang mencapai 99% merupakan hasil demokrasi tempang dan cacat. Di dalam masa yang sama, rejim inilah yang menangkap ribuan pimpinan Ikhwanul Muslimin bagi menghalang mereka bertanding di dalam pilihanraya. Jika benar Hosni Mubarak menang besar di dalam pilihanraya dengan sokongan rakyat, dari mana datangnya penunjuk perasaan yang berjumlah ratusan ribu pada hari ini?
- Rejim inilah juga yang menghulurkan tangan persahabatan dengan Israel pada saat Israel dikutuk di seluruh dunia kerana menzalimi rakyat Palestin. Mereka menidakkan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa al-Azhar pada 18 Jamadil Awwal 1375H bersamaan 2 Januari 1956M yang mengharamkan sebarang bentuk kerjasama dengan negara haram Israel. Di antara mereka yang bersidang pada hari itu ialah Syaikh Isa Manun, Dekan Fakulti Syariah dari Mazhab Syafi'i, Syaikh Mahmoud Shaltout, dari Mazhab Hanafi, Sheikh Mohamed Thaneikhi, Pengarah Badan Dakwah dan Bimbingan Keagamaan, dari mazhab Maliki, Syaikh Muhammad Abdul Lathif As-Subki, Pengarah Penyelidikan Universiti Al-Azhar dari mazhab Hanbali dan Syaikh Zakaria Al-Birri, Bahagian Jawatankuasa Fatwa.
- Nota Tambahan Saya: Hanya Mesir dan Jordan yang pernah menandatangani Perjanjian Damai dengan Israel. Mesir menandatangani perjanjian damai tersebut pada 1979 oleh President Anwar Sadat.
- Sesungguhnya tangan Hosni Mubarak ialah tangan berlumuran dengan darah rakyat Palestin. Kekuasaannya tegak di atas susunan tulang tulang para ulama yang dikorbankan demi untuk memenuhi tuntutan hawa nafsunya. Hari ini, tindakan paling tidak demokratik telah dilaksanakan dengan menutup semua akses internet dan talian telefon semata-mata untuk membendung kebangkitan rakyat.
- Dalam hal ini, saya menyetujui pandangan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi supaya Hosni Mubarak meletakkan jawatan dan akur dengan kehendak rakyat Mesir demi kebaikan rakyat Mesir dan umat Islam keseluruhannya. Semoga Allah SWT akan menaikkan penguasa yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat dan Islam khususnya membela nasih umat Islam di tanah yang bersempadan dengan Mesir iaitu Palestin. Padanlah kalau pihak yang kecut perut sekarang ini dengan perkembangan yang berlaku ialah Israel.
Sekian, wasalam.
Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan merangkap al-Mursyidul Am PAS.
Bertarikh : 27 Safar 1432H bersamaan 1 Februari 2011M