Monday, July 12, 2010

Persembahan Dua Cinta



Assalamualaikum wbt

'Cinta di Rumah Hassan Al-Bana' diterbitkan dengan menukilkan memori indah anak-anak Hasan Al-Banna bersama ayah mereka yang tidak pernah membuatkan mereka berasa terpinggir di saat si ayah sibuk berjuang demi Islam, si ayah yang mengikrarkan bahawa ummat ini lebih disayangi dari segalanya dan si ayah yang menghabiskan seluruh hidupnya untuk dakwah. 'Persembahan Cinta Isteri Hasan Al Banna' adalah buku yang agak baru diterbitkan. Buku yang mengimbangkan kesan daripada buku yang diterbitkan lebih awal iaitu 'Cinta Di Rumah Hasan Al Banna'. Dua buah buku yang membicarakan dua insan mempersembahkan cinta terbaik mereka kepada pasangan, kepada keluarga dan kepada dakwah ummat.

Kenapa buku 'Persembahan Cinta Isteri Hasan Al Banna' dikatakan mengimbangkan kesan daripada buku yang pertama? Sesiapa yang membaca buku yang pertama akan merasakan Hasan Al-Banna sangat hebat di luar rumah dan di rumah. Dunia mengetahui apa peranan Hassan Al Banna dalam mengasaskan sebuah gerakan Islam yang memberi impak yang sangat besar dalam sejarah negara Mesir dan juga perkembangan Islam dan politik di seluruh dunia. Tentunya beliau sangat sibuk di luar rumah, menjelajah ke seluruh Mesir dan menghadiri pertemuan di sana dan di sini. Tetapi beliau masih mampu berperanan yang sangat besar, dekat dan teliti kepada keluarga dan anak-anaknya. Dari menyimpan rekod peribadi kesihatan dan pendidikan anak-anak sehinggalah menghantar bekal si anak ke sekolah, dari menegur dengan hikmah si anak yang tidak menghormati tetamu, sehinggalah menangani isu anak lelaki ketagih membaca komik, semuanya mujahid ulung ini dapat lakukan.

Lantas mungin ramai yang berangan-angan satu figure idealistik sebegitu. Tidak sedikit pula yang tertanya-tanya, jika banyak sekali sumbangan Hasan Al-Banna dalam rumah tangga, maka apa pula peranan si isteri?



Buku kedua menukilkan peranan isteri Hasan Al-Bana, Lathifah yang sebenarnya sama hebat, dari kekukuhan jiwa taqwanya sehinggalah kekuatan fizikalnya. Seorang wanita muslimah yang tenang melepaskan Hasan Al-Banna keluar berjuang sehingga berminggu-minggu tidak pulang ke rumah, yang menawarkan segala harta di rumah untuk dakwah Ikhwan, seorang wanita yang meneruskan kandungan selepas kematian Hassan Al-Banna di saat para doktor menasihati untuk mengugurkannya. Dia akhirnya membesarkan sendirian putera dan puteri Hasan Al Banna setelah kematian suaminya, mendidik kesemua anak-anak kecil itu menjadi pakar yang soleh dan solehah dalam pelbagai bidang ilmu. Lathifah melakukannya dalam pengawasan, pemantauan dan tekanan tentera Mesir yang ketat selama bertahun-tahun. Masalah kesihatan, ancaman tentera dan kesempitan kewangan yang dihadapi selepas kematian Hassan Al-Banna seakan-akan semakin menguatkannya untuk mendidik amanah peninggalan si suami menjadi insan yang berguna di dunia dan akhirat, menjadi tokoh masyarakat berbakti buat ummat.

Di belakang seorang lelaki yang hebat, memang berdiri seorang perempuan yang juga hebat. Lathifah memainkan peranan yang sangat cemerlang mendokong perjuangan suaminya. Dua insan ini mengajarkan dunia bahawa cinta itu mesti dipersembahkan dalam bentuk sebaik- baiknya, nanti ia akan membuahkan hasil agung untuk keluarga dan ummat.

Peranan utama si Mujahid adalah pada ummat, di luar rumah. Usah terlalu disibukkan dengan urusan rumah yang boleh menghalang kelancaran dan kelajuan langkahnya di luar rumah.

Peranan utama si Muslimah adalah dalam rumah, membentuk unit-unit individu Muslim berkualiti sejak dari kecil kerana peranan yang nampak kecil ini besar kesannya buat ummah. Usah terlalu jauh langkah di luar rumah sehingga terabai yang paling utama peranan menjadi tunjang utama baiti jannati.

Namun, kesibukan si mujahid jangan sehingga tiada peranan di rumah. Jangan kerana rumah itu medan utama, muslimah tiada sumbangan buat ummat di luar.

WaAllahu a'lam.

2 comments:

Tariq_ramadhan said...

Tariq Ramadhan sepatutnya bersyukur memiliki datuk sehebat Hassan Al Banna...mampu menikmati sebuah rumahtangga yang bahagia yang makin sukar untuk dijelmakan akhir zaman ini...

Thuaibah said...

Kebahagiaan itu dari Allah SWT. Rasa mencukupi, tenang, kasih sayang dan segalanya itu Allah yang campakkan ke dalam hati-hati...hamba-hambaNya yang beriman, yang teguh menjaga iman dan tetap mengerjakan amal soleh.

Dalam rahmah dan keberkatan dariNya, tiada yang mustahil despite the odd world that we are living today.