Sunday, February 15, 2009

Madain Salleh

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

"Dan ingatlah ketika Dia menjadikan kamu khalifah-khalifah setelah kaum 'Ad dan menempatkan kamu di bumi. Di tempat yang datar kamu dirikan istana-istana dan di bukit-bukit kamu pahat menjadi rumah-rumah. Maka ingatlah nikmat-nikmat Allah dan janganlah kamu membuat kerosakan di bumi."
(Al-A'raf:74)

(sebahagian daripada rombongan kami di depan gunung batu)

Madain Salleh adalah sebuah tinggalan peradaban lampau yang masih utuh walaupun telah berusia lebih daripada 2500 tahun. Perkataan Madain adalah jama' kpd perkataan "madyan" yg bermaksud "bandar". Jadi, Madain Salleh bermaksud Bandar-Bandar Nabi Salleh.

Nabi Salleh A.S ialah rasul utusan Allah kepada kaum Thamud.

"Kaum Thamud telah mendustakan para rasul. Ketika saudara mereka, Saleh berkata kepada mere­ka: Mengapa kamu tidak bertaqwa?" (As Syu'ara:141-142)

Kawasan Arkeologi.

Madain Salleh yang juga dikenali dengan nama al-Hijr (batu) terletak berhampiran dengan Al-Ula, lebih kurang 400 kilometer di utara Madinah. Madain Salleh yang terletak di kawasan padang pasir ini mempunyai lebih kurang 300 buah rumah termasuk Qasr Bintu iaitu istana puteri raja di atas puncak gunung (puncak gunung dipahat menjadi istana) ,130 telaga dan kubur dalam kawasan seluas 13 kilometer. Kawasan ini telah pun dipagar kerana ia telah mendapat pengiktirafan sebagai salah sebuah kawasan world heritage oleh UNESCO pada tahun 2008.

"Dan sesungguhnya penduduk negeri Hijr benar-benar telah mendustakan para rasul mereka. dan Kami telah mendatangkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami, tetapi mereka selalu berpaling darinya. dan mereka memahat rumah-rumah dari gunung batu, (yang didiami) dengan rasa aman. Kemudian mereka dibinasakan oleh suara keras yang mengguntur di pagi hari. Sehingga tidak berguna bagi mereka apa yang mereka usahakan." (al-Hijr:80-84)

Kaum ini disebut di dalam Al-Qur'an sebagai satu kaum yang diberi anugerah yang sangat istimewa dari Allah iaitu mereka berupaya menebuk dan memahat gunung-ganang untuk dijadikan rumah kediaman beserta dengan kemahiran mengukirnya dengan ukiran-ukiran yang indah menyamai dengan ukiran-ukiran tiang pada rumah rumah-rumah mewah pada zaman sekarang.

"Dan kamu pahat dengan terampil sebahagian gunung-ganang untuk dijadikan rumah-rumah" (as-Syu'ara:149)

Mereka ialah kaum Nabi Salleh yang telah menjadi angkuh kerana kelebihan hebat yang dianugerahkan oleh Allah kepada mereka lantas enggan menerima kerasulan Nabi Salleh. Malah, mereka meminta bukti kebenaran kerasulan Nabi Salleh. Lalu Allah menganugerahkan unta yang keluar daripada dua celahan gunung Madain Salleh sebagai bukti kebenaran baginda sebagai Rasul Allah. Unta yang mengeluarkan susu yang sangat banyak dan mampu menampung keperluan seluruh penduduk Madain Salleh ini akhirnya dibunuh oleh mereka. Mereka memanah kaki depan unta tersebut dan membunuhnya apabila ia jatuh tersungkur kerana panahan pertama. Nabi Salleh mengatakan kepada mereka bahawa Allah akan menurunkan azab kepada mereka dalam masa 3 hari dan setiap hari warna wajah mereka akan berubah. Apabila warna wajah mereka berubah barulah mereka mula mempercayai kebenaran Nabi Salleh, lantas meminta ampun tetapi sudah terlewat.

"Dan kepada kaum Thamud (Kami utus) saudara mereka, Salleh. Dia berkata, "wahai kaumku! sembahlah Allah! tidak ada tuhan sembahan bagimu selain Dia. Sesungguhnya telah datang kepadamu bukti yang nyata dari Tuhanmu. Ini (seekor) unta betina dari Allah sebagai tanda untukmu. Biarkanlah ia makan di bumi Allah, janganlah disakiti, nanti akibatnya kamu akan mendapat siksaaan yang pedih" (Al-A'raf:74)

"Kemudian mereka sembelih unta betina itu, dan berlaku angkuh terhadap perintah Tuhannya. Mereka berkata, "Wahai Salleh! Buktikanlah ancaman kamu kepada kami, jika benar engkau salah seorang rasul" (Al-A'raf:77)

Allah kemudiannya memerintahkan Nabi Salleh bersama beberapa pengikutnya yang beriman untuk berhijrah ke Ramallah, Palestin dan membinasakan seluruh penduduk Madain Salleh dengan bunyi halilintar yang sangat kuat. Semua Kaum Thamud meninggal dunia tetapi segala gunung ganang yang telah ditebuk dan diukir oleh kaum Thamud utuh dalam bentuknya yang asal. Mungkin Allah mahukan ummat selepas itu mengambil pengajaran melihat kehalusan seni bina dan ukiran serta kemodenan teknologi menebuk bukit batu (bukan bukit tanah) yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada ummat lampau.

"Dan apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu melihat bagaimana kesudahan orang-orang yang sebelum mereka, sedangkan orang-orang itu adalah lebih besar kekuatannya dari mereka? Dan tiada sesuatupun yang dapat melemahkan Allah baik di langit maupun di bumi. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa". (Al-Fathir:44)

Ukiran mereka adalah tersangat halus, contohnya mereka mampu mengukir celahan sayap helang dan paruh helang dengan baik di atas anjung pintu utama rumah mereka. Reka bentuk ukiran tiang rumah mereka juga adalah sama seperti ukiran pada tiang-tiang simen besar di rumah-rumah moden sekarang. Tanpa melihat dengan mata dan kepala sendiri adalah amat sukar untuk mempercayai bahawa seni ukir yang berusia 3000 tahun dulu masih utuh dan mengagumkan. Sesungguhnya Allahlah yang memiliki segala kehebatan ilmu dan Dia menganugerahkan kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya.


Menurut penduduk tempatan, Madain Salleh pernah diduduki oleh puak Nabataean lebih kurang 2000 tahun yang lampau. Kaum Nabataean ini dikatakan berasal dari kawasan Jordan dimana Petro (di Jordan) pernah menjadi ibu negara kaum Nabataean. Kaum Nabataean adalah juga berbangsa Arab yang telah menjadi kaya raya kerana perniagaan rempah ratus antara pihak di sebelah timur dengan empayar Rom, Greak dan Egyptian.

Generasi kedua pada mulanya menduduki rumah-rumah batu ini sebaik sahaja mereka menjumpainya, namun kemudiannya mereka mula merasa takut kerana tidak mengetahui apa yang telah berlaku kepada penghuni sebelumnya dan kenapa sebuah bandar yang besar beserta rumah-rumah yang cantik ditinggalkan begitu sahaja. Akhirnya, mereka memutuskan untuk menjadikan rumah-rumah tersebut sebagai kubur. Saya berpeluang melihat tulang-tulang dan tengkorak manusia di dalam lubang berbentuk empat segi seperti liang lahad dalam beberapa buah rumah di kawasan tersebut.

(salah satu dari liang lahad yang digali oleh generasi kedua yg menduduki rumah ini)

(antara bilik-bilik yang terdapat di dalam rumah batu kaum Thamud)

(ukiran pada dinding sebelah dalam rumah batu)

(cuba bilang terdapat berapa rumahkah?)

(binaan rumah golongan berpendapatan rendah)


Ibrah Sirah Rasulullah SAW

Orang Arab dan penduduk tempatan di sini amat memahami signifikasi perbuatan Rasulullah SAW yang tidak berhenti di kawasan Madain Salleh ini sekembalinya baginda dan para sahabat yang lain dari Perang Tabuk. Walaupun para sahabat yang sangat kepenatan dan kehausan meminta baginda berhenti rehat di kawasan ini, namun Rasulullah SAW terus meneruskan perjalanan sehinggalah ke Al-U'la. Apabila ditanya oleh para sahabat selepas itu kenapa baginda tidak berhenti di Madain Salleh, malah baginda memecut unta laju-laju ketika melalui kawaan ini, baginda menjawab bahawa kawasan itu adalah kawasan tempat laknat Allah, tempat pernah turunnya azab yang dahsyat. Masjid tempat Rasulullah SAW dan para sahabat berhenti untuk solat dan rehat masih terdapat di Al'Ula. Masjid tersebut masih dalam bentuknya yang lama iaitu dari binaan pohon dan pelepah tamar.

Justeru, terdapat papan tanda pada pintu pagar utama kawasan ini untuk tidak makan dan minum di kawasan ini walaupun makan dan minum bekalan sendiri. Tiada langsung sebarang kedai di sini, tempat ini dirujuk oleh mereka sebagai "cursed place", jadi tidak hairanlah apabila mereka tidak mempopular dan mengkomersialkan tempat ini, namun apa yang akan berlaku pada masa akan datang waAllahu a'lam.

Renungan

Saya mengetahui kisah Perang Tabuk, saya mengetahui ia berlaku pada musim panas (musim menuai hasil tanaman dan juga suhu yang sangat panas) yang menguji iman ramai sahabat kerana ini adalah satu-satunya perang yang Rasulullah beritahu terlebih awal bahawa perjalanannya sangat jauh, saya mengetahui kisah Kaab dan saya mengetahui perbuatan golongan munafiq Madinah pada waktu itu, tetapi ia hanya benar-benar berbekas kuat di hati apabila saya menjalani perjalanan yang panjang (bukannya berjalan kaki...hurm...sedangkan bukan semua sahabat menaiki unta dan kuda, ramai yang berjalan kaki) sejauh 400km menaiki bas yang selesa dan laju pada musim sejuk (maknanya tidak panas) yang udaranya nyaman seperti Genting Highland dan bas kami berhenti rehat di Khaibar (convenient eh, travel bus beraircond...lps 2 jam berhenti rehat dan makan...jauhnya beza dibandingkan dgn perjalanan Rasul Allah...owh ya, kt Khaibar nie pun pernah terjadi perang Khaibar). Dari Madinah ke Al-Ula hanyalah sebahagian kecil daripada peta perjalanan Perang Tabuk Rasulullah, menambahkan rasa takjub kepada semangat juang para sahabat, ketabahan, kesungguhan dan keberanian. Lantas terfikir, "patutlah mereka dimuliakan Allah untuk hidup pada zaman Rasulullah", "mereka layak mendapat Syurga ats segala apa yang mereka perbuat".

4 comments:

Anonymous said...

Terima Kasih Thuaibah...for enlightening article...ramai yg tak tahu psl tmpt nie msh wujud..

moga Allah membalas dgn balasan yang sebaiknya utk ukhti

Anonymous said...

Subhanallah, thanks for sharing~

Anonymous said...

salam Thuaibah..
jazakillah for this entry...sangat menarik!
Sesungguhnya Allah memberikan kekuasaan kepada sesiapa yang dikehendaki olehNYA...
May Allah guide us..ameen..

Thuaibah said...

Waalaikumusalam wbt...

huhu...waiyyaki...

sometimes I just wonder "ada ke org baca entry panjang yg nampak cm bosan nie"...

tempat nie memang sgt2 mengagumkan saya sndr krn sy pn xpnh tahu ianya wujud^_^. Subhanallah~

p/s: welcome hadz...