Monday, July 25, 2011

Ramadhan 2011

Bismillahirahmanirahim...

Assalamualaikum wbt..

Ada seminggu lagi sebelum Ramadhan menjelma, Ramadhan ke dua di bumi Malaysia sekembalinya dari Australia..

Mari kita menyediakan mental, jiwa dan fizikal untuk Ramadhan!

Mungkin amalan-amalan sunat boleh mula ditambah dan dilatih mulai sekarang, agar nanti bulan Ramadhan dapat momentum yang lebih untuk beramal..



Ada beberapa hadith yang mahu saya kongsikan;

Dari Anas bin Malik :

[ كان النبي صلى الله عليه وسلم يفطر على رطبات قبل أن يصلي ، فإن لم يكن رطبات فتمرات ، فإن لم يكن تمرات ؛ حسا حسوات من ماء ]

Maksudnya : ” Sesungguhnya Nabi SAW berbuka puasa dengan beberapa kurma basah (ruthob) sebelum solat (maghrib), sekiranya tidak ada kurma basah (ruthob) Baginda berbuka dengan beberapa tamar (kurma kering), jika tidak ada tamar (kurma kering), Baginda meneguk seteguk air “. [HR Abu Daud : 2356]

Ada juga pendapat bahawa disunatkan memakan buah-buahan lain jika tidak ada kurma, sesetengah ulama pula mengatakan makanan pertama untuk disentuh ketika berbuka puasa ialah yang tidak disentuh api (spt; buah-buahan dan air mineral).

Hadith ini bagus untuk memberi panduan kepada orang-orang Malaysia yang berada dalam syurga makanan, menghadap makanan bagai tidak ingat dunia ketika berbuka puasa yang akhirnya melewatkan solat Maghrib dan mengurangkan stamina untuk beramal ibadat pada sebelah malam.

Sebaik-baiknya, solat Maghrib disegerakan sebaik sahaja memakan kurma, sedikit kuih-muih dan air. Selepas solat barulah makan makanan yang berat. Ini adalah untuk mengelakkan perut kita terkejut apabila terus menerima makanan berat dan dalam kuantiti yang banyak sebaik sahaja berbuka puasa, dan mengelakkan solat Maghrib ditunaikan di hujung waktu sedangkan solat itu lebih utama.

Nabi SAW bersabda :

[ من صام رمضان إيمانا و احتسابا، غفر له ما تقدم من ذنبه ]

Maksudnya : ” Barang sesiapa yang yang berpuasa ramadhan kerana didorong oleh iman danmengharapkan keredhaan Allah, maka diampunkan baginya dosa-dosanya yang lalu ” [HR Al-Bukhari : 38, Muslim : 175]


Marilah kita berdoa agar ALLAH "mengurniakan" Ramadhan ini buat kita, agar kita mampu memanfaatkan Ramadhan ini dengan sebaik-baiknya.

Wa Allahu alam

Wednesday, July 6, 2011

Aku dan Al Ikhwan Al Muslimun (2)

Dr Yusof Qardhawi mengatakan bahawa peluang bertemu mata buat pertama kali dan mengenali dengan dekat Sheikh Al-Ghazali adalah buah pertama ujian dakwahnya. Perkenalan ini berlaku dalam bot ketika mereka dipindahkan dari Penjara Haikastib, Kaherah ke Penjara di Jabal Tur (gunung tempat Nabi Musa AS menyendiri dan mendapatkan cahaya).

Di Penjara At-Tur Dr Yusof Qardhawi sentiasa mendampingi ulama' ulung yang dikaguminya, Sheikh Al-Ghazali. Beliau menyatakan bahawa Penjara At-Tur mereupakan pusat latihan tarbiah Ikhwan yang paling baik pernah dilalui, "inilah tempoh tarbiah secara intensif bagi seorang tentera untuk mendidik ketaatan, disiplin, pengorbanan dan lebih mementingkan saudara lain berbanding diri sendiri". Penjara itu dipenuhi dengan para ulama' dan anggota Ikhwan yang menukarkan penjara itu menjadi masjid sepenuh masa, untuk beribadah pada waktu malam dan siang, mempelajari pelbagai kitab induk sehingga khatam, bersenam secara berjemaah setiap hari dan menuntut ilmu di kelas-kelas pengajian oleh beberapa ulama' di situ.

Buku yang ditulis dalam bentuk kronologi ini banyak memberi penjelasan penting dan gambaran sebenar terhadap rentetan peristiwa yang berlaku terhadap Ikhwanul Muslimin dan pemerintah Mesir.

Gambaran penyeksaan di penjara yang dahsyat apabila pemerintahan Mesir bertukar pemimpin juga diceritakan dalam buku ini. Banyak kisah yang hampir sama dengan kisah dalam "Hari-hari dalam Hidupku" oleh Zainab Al-Ghazali. Satu kisah yang tidak dapat saya lupakan ialah tentang seorang pemuda yang diseksa dengan sangat dahsyat seperti yang digambarkan oleh orang yang melihatnya, "tubuhnya menjadi seperti selonggok daging yang penuh tersiat dengan luka, bersimbah darah dan nanah yang bercampur darah.."

"Apabila ada perintah untuk membawanya dari sel tahanan ke bilik soal siasat, para pengawal penjara sendiri akan menolak dan merasa ragu-ragu. Akh Muhammad sudah tidak mampu berjalan dan merejka juga tidak dapat membawanya ke bilik soal siasat kerana tubuhnya telah dipenuhi luka. Akhirnya mereka terpaksa menyediakan troli sampah untuk membawa Akh Muhammad ke bilik soal siasat." Beliau kemudiannya meninggal dunia akibat seksaan itu.

"Mereka yang meninggal dunia akibat seksaan biasanya dikumpulkan di ruang tersembunyi yang banyak disediakan di sudut-sudut penjara, kemudian dibawa oleh tentera ke Padang Abasiah untuk dikuburkan dalam satu lubang. Mereka dimasukkan ke dalam lubang tanpa dibersihkan, tanpa dikapankan dan tanpa ada seorang pun yang menyembahyangkan mereka."

Secara keseluruhannya saya melihat pemerintah Mesir memang bertindak keras terhadap Ikhwanul Muslimin sejak dari zaman penubuhannya. Walaupun pemerintah Mesir bertukar beberapa kali, Ikhwanul Muslimin tetap ditekan sejak dulu sehinggalah hari ini (mungkin keadaan adalah sedikit baik selepasa Revolusi Mesir baru-baru ini, namun era baru ini masih terlalu baru). Ribuan telah dipenjarakan dan mati akibat seksaan, ramai tokoh dibunuh dengan pelbagai helah, ratusan pemimpin Ikhwan dibuang ke luar negara dan dihalang daripada memasuki Mesir. Dr Yusof Qardhawi sendiri hanyalah dibenarkan memasuki Mesir selepas Revolusi bersejarah baru-baru ini, selepas berpuluh tahun dihalang memasuki bumi itu.

"Dan mereka melakukan tipu daya, dan Allah juga melakukan tipu daya. Dan Allah sebaik-baiknya pembuat tipu daya" (Al-Anfal:30)

Monday, July 4, 2011

Aku dan Al Ikhwan Al Muslimun



Bismillahirahmanirahim...

Alhamdulillah, saya berjaya menghabiskan buku ini dalam masa tiga hari, pada minggu pertama cuti selepas peperiksaan ACCA.

Dr Yusof Qardhawi pernah mendapat tarbiah Ikhwanul Muslimin dan merupakan seorang ahli Ikhwan yang sangat aktif sejak zaman sekolah lagi. Beliau pernah mengikuti ceramah-ceramah Hassan Al Bana dan pernah beberapa kali dipenjarakan kerana penglibatan aktifnya dalam perjuangan Ikhwanul Muslimin.

Setelah 5 tahun bersama Al-Ikhwan Al Muslimin, beliau menukilkan 5 pandangannya terhadap Ikhwanul Muslimin, tatkala beliau berfikir dan menilai kembali perjalanan hidupnya bersama Ikhwanul Muslimin, samada membawa kebaikan kepada agama dan dunianya atau tidak?. Dan sejauh mana beliau memperoleh manfaat daripada dakwah ini?

Pertama:

Ikhwan telah meluaskan pemikiranku memahami Islam secara menyeluruh sebagaimana yang disyariatkan oleh Allah SWT, sebagaimana yang dinyatakan dalam kitabNya, seperti yang diseru oleh Rasul-Nya dan difahami oleh para sahabat baginda. Islam adalah agama dan dunia, dakwah dan negara, akidah dan syariat, ibadah dan kepimpinan, mushaf dan pedang. Allah SWT berfirman kepada Rasul-Nya:

"Dan kami datangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas seluruh ummat manusia. Dan kami turunkan kepadamu al-kitab (al-Qurán) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri" (An-Nahl:89)

Para fuqaha telah sepakat menetapkan bahawa syariat Islam telah menggariskan segala bentuk akhlak. Tidak ada satu sikap pun yang tidak digariskan dalam syariat Islam. Aku semakin mengenali Islam secara menyeluruh. Islam yang aku fahami tidak hanya bersifat simbolik seperti yang aku fahami sebelum ini dan yang masih difahami oleh sebahagian besar umat Islam.

Kedua:

Aku memahami kewajipan amal jamaí (kerja secara kolektif) untuk memenangkan Islam. Ketika itu aku mulai faham dengan jelas bahawa untuk mengembalikan kemenangan Islam haruslah melalui kata-kata, perbuatan, dakwah dan pengorbanan. Begitu juga dalam usaha mengembalikan kempimpinan Islam yang telah hilang dan mengembalikan hukum syariat yang meliputi seluruh sudut kehidupan, menghadapi musuh-musuh Islam, dakwah, syariah, akhlak dan umatnya.

Semua ini tidak mungkin mampu dilakukan seorang diri. Tetapi mesti dilakukan dalam sebuah jemaah yang mengumpulkan sasaran yang jelas, matlamat yang nyata, memberi pemahaman yang terperinci, iman yang mendalam, keterikatan yang kuat untuk merealisasikan matlamat besar umat Islam setelah runtuhnya khilafah Islamiyah dan tidak adanya khalifah. Tidak ada lagi sebarang ikatan dan tidak ada lagi sebarang sistem.

Semua telah sedia maklum bahawa Allah ada bersama jemaah. Seseorang akan lemah bila bersendirian dan kuat bila beramai-ramai. Serigala akan menerkam domba yang terpisah dari kumpulannya. Bekerjasama atas kebaikan dan taqwa itu adalah kewajipan umat Islam. Dan jika musuh-musuh Islam bersatu dan menyusun barisan untuk memusuhi Islam, kita tidak akan dapat menghadapinya seorang diri dan dalam keadaaan berpecah-belah. Allah SWT berfirman:

"Dialah (Allah) yang memberi engkau kekuatan dengan pertolonganNya dan dengan sokongan orang-orang beriman.." (Al-Anfal:62)

Ketiga:

Aku berubah daripada hanya menjadi seorang penasihat dan penceramah agama di kemung atau di desa sekitarku kepada seorang pendakwah Islam. Penekananku dalam dakwah tidak lagi hanya pada tahap memelihara komitmen beragama bagi seorang individu muslim, meskipun ini merupakan tahap yang perlu terus diperbaiki. Penekananku berubah kepada tahap membina kebangkitan Islam secara global, yang mampu menyentuh pemikiran dan mampu menghidupkan hati seluruh umat manusia di muka bumi. Seorang penceramah agama mampu melembutkan hati, mengingatkan orang kepada kematian, menggunakan kisah-kisah, hadis-hadis motovasi dan peringatan. Sedangkan pendakwah Islam mempunyai misi untuk mencerdaskan fikiran, menyentuh perasaan, menguatkan tekad, meninggikan cita-cita, mengerah tenaga, menghimpun kekuatan, menguatkan ikatan, mengumpulkan umat Islam untuk mengorbankan segala apa yang termampu untuk berjuang di jalan Islam.

Keempat:

Bergabungnya aku dengan Ikhwan telah mengubah cita-citaku kepada cita-cita biasa dan terbatas, pada cita-cita yang besar dan universal. Keinginanku tidak hanya sekadar menyelesaikan pengajianku, tetapi aku menginginkan sesuatu yang lebih luas dan dalam daripada sekadar mencari keuntungan peribadi dan masa dapan diri sendiri.

Aku sangat ingin membebaskan sungai Nil, negara-negara Arab, Islam dari seluruh kekuatan asing yang menjajahnya. Aku sangat ingin mengusir pemikiran dan sistem, serta undang-undang konvensional dan menerapkan pemikiran, sistem hukum Islam yang menggantikan tempatnya.

Aku sangat ingin menyatukan ummat Islam yang telah dipecah-belahkan oleh kejahiliahan, aliran mazhab, egoisme akibat strategi penjajah yang memecah belahkan mereka. Aku sangat ingin mengembalikan khilafah Islamiah untuk memimpin ummat di bawah panji al-Qurán dan kepimpinan Muhammad SAW.

Kelima:

Antara manfaat yang aku perolehi daripada madarasah dakwah Ikhwanul Muslimin adalah membebaskan mahasiswa Al-Azhar daripada terus terasing dalam masyarakat, yang merupakan akibat daripada sistem pembelajaran yang tidak menyeluruh. Generasi Mesir pada waktu itu terbahagi kepada dua iaitu generasi yang mempunyai corak pemikiran agama yang merupakan keluaran al-Azhar dan generasi kota yang berlatarbelakangkan pemikiran umum dan merupakan alumni pendidikan umum. Terdapat jurang pemikiran dan cara hidup yang sangat luas antara dua golongan ini. Mereka tidak dapat disatukan. Maka, antara tujuan utama dakwah Islam adalah untuk merapatkan jurang ini hingga mereka dapat saling bertukar-tukar manfaat. Jemaah Ikhwan telah berjaya menyatukan mereka atas dasar dakwah.


Bersambung...