Assalamualaikum wbt
Musim exam selalu datang dengan keistimewaan yang tersediri,
waktu sibuk yang ada ruang untuk membaca berbanding waktu sibuk yang penuh dengan kelas, group discussion, assignment dan presentation.
Musim exam kali ini pun begitu, saya berpeluang meluangkan lebih masa untuk membaca akhbar dan beberapa blog yang lazimnya saya hanya akan membaca tajuk.
Kisah hangat membuka tirai exam period kali ini tentunya kisah penahanan Dr Asri, seorang yang hanya beberapa kali pernah saya temui
face to face, tidak mengingati apa-apa tentang kuliah beliau kecuali idea tajdid dan terasa 'berat kepala' penangan mendengar hujah beliau. Mula mengenali beliau di INTEC, mengikuti web rasmi Mufti Perlis sewaktu beliau menjadi mufti, mengikuti blog peribadinya apabila beliau menjadi bekas mufti, mendengar lagu-lagu yang dinyanyikan hasil sajaknya dan terus mengikuti penulisan dan berita tentangnya sehingga ke saat ini.
Saya melihat
percaturan dan permainan yang menarik dalam insiden penangkapan kerana tauliah dan bantahan terhadap tawaran jawatan kepada beliau untuk menjadi Pengerusi YADIM. "
Ada permainan" detik hati saya, mungkin novel penyiasatan dan buku konspirasi yang banyak dibaca menyebabkan minda saya
terus membuat jalan, lorong dan plot permainan sebaik sahaja membaca berita tersebut.
Namun, semalam 3 November, saya terkejut apabila mendapati ada lebih kurang 10 artikel atau berita membincangkan pelbagai sudut tentang Dr Asri dalalm Utusan Malaysia sahaja! Ramai yang membela dan ramai juga yang tidak menyenangi. Saya terkejut apabila membaca satu dakwaan beliau memalsukan kelulusan di Jordan (dakwaan ini telah saya dengar di INTEC lagi) tetapi tuduhan secara terbuka di media utama sehari selepas beliau ditangkap menunjukkan kes beliau serius. Saya semakin yakin dengan teori "permainan" apabila semakin banyak membaca berita-berita diakhbar.
Dituduh Wahabi, beliau menafikan. Beliau menyuruh beramal berdasarkan dalil, beliau dikatakan mencetus kekeliruan. Pandangan saya, beliau bukan Wahabi, beliau hanya menggunakan hujah dalam beramal dan menggalakkan perbezaan pendapat lantas sesetengah pihak berasa keliru dan sesetengah orang merasakan kita berpecah apabila kita berbeza. Apabila satu pihak mahu baca Yaasin malam Jumaat dan satu pihak lagi tidak mahu, maka ia dianggap berpecah. Tidak bolehkan kita hanya buat apa yang kita yakin dan percaya, dan membiarkan orang lain beramal dengan cara mereka sendiri? Nanti, selepas waktu baca Yaasin yang 'berpecah' itu, kita bersamalah kembali membuat aktiviti-aktiviti lain. Contoh perpecahan pelajar dalam isu baca Yaasin adalah contoh berskala kecil tentang kesan perbezaan pendapat, namun kita wajar belajar untuk bersama bersatu dengan orang yang berbeza pendapat dengan kita agar perpecahan berskala besar tidak berlaku. Isunya ialah masyarakat perlu dididik untuk bijaksana dan berlapang dada dalam perbezaan pendapat, bukan ilmu kebenaran perlu disekat bagi mengelak perpecahan. Mentaliti perpaduan juga perlu ditajdidkan nampak gayanya.
Pemberian tauliah adalah salah satu mekanisme yang digunakan oleh kerajaaan bagi memantau majlis-majlis agama dan mengelakkan ajaran sesat dan songsang tersebar dalam masyarakat. Namun jika soal formaliti (sekeping kertas tauliah) terlalu ditekankan tanpa menggunakan pertimbangan (consideration) dan budi bicara, mekanisme yang diwujudkan untuk mamantau demi kebaikan semua pihak ini akan hilang objektivitinya lantas menjadi satu kerenah birokrasi yang membebankan dan boleh menjadi sesuatu yang ditentang oleh masyarakat. Tindakan menahan seorang bekas Mufti atau menahan mana-mana graduan bidang agama yang tidak pernah diisytiharkan terpesong dari ajaran Islam adalah tindakan kurang bijak yang hanya mengundang tentangan dari masyarakat. Oleh itu, sesuai dengan objektif sistem pemberian tauliah adalah untuk memantau,
maka pemantauan yang sebenarnya perlu ditingkatkan oleh Jabatan Agama bukan tangkapan terlebih cekap.
Tindakan menangkap tokoh agama hanya akan menambahkan ketidak popularan Jabatan Agama, sebaliknya Jabatan Agama boleh menjadi lebih popolar dengan melipat gandakan usaha menahan penganjur-penganjur majlis maksiat di premis peribadi yang ramai juga mengadakannnya tanpa permit kerajaan. Apabila Dr Asri ditahan kerana berceramah di sebuah rumah peribadi, saya tertanya-tanya adakah permit/tauliah juga perlu dipohon untuk mengadakan satu majlis ilmu di ruang tamu rumah sendiri? Adakah penganjur majlis maksiat dan pesta muda mudi pada hujung minggu di premis peribadi juga ditangkap seperti penceramah majlis agama tanpa permit?
Konklusi saya, Ustaz Asri tidak bersalah apabila menganjurkan kita beramal berdasarkan hujah dan dalil, agar kita melakukan sesuatu yang kita mempunyai pengetahuan tentangnya bukan sekadar ikut-ikutan tanpa mengetahui hujung pangkal. Minda saya yang sudah lama tidak membaca novel konspirasi dan penyiasatan ini juga mengatakan bahawa penangkapan beliau bukanlah kerana ketiadaan tauliah untuk mengajar tetapi ada "game" menarik.
Saya juga ingin mencadangan tulisan Ustaz Hasrizal untuk lebih memahami isu ini,
Justifikasi Seorang Temandan juga Ustaz Zaharuddin yang menganjurkan kita berlapang dada apabila kita berbeza,
Tangkapan Dr Asri: Satu Pandangan.