Bismillahi rahmanirahim..
Baru 11 bulan dalam dunia kerjaya yang sangat berbudayakan korporat dan moden, I would like to say I agree for every alphabete written in this articles due to my own experience. Even though my daily challenges are much more than addressed, but this writing is good enough for general reading. Wish to re-read in future, again and again.
“Terima kasih kerana sudi menjemput saya untuk berkongsi masa, pandangan dan fikiran di dalam majlis ini. Tahniah atas graduation masing-masing dan selamat pulang ke tanah air” saya memulakan ucapan ringkas.
Majlis pagi itu menemukan saya dengan sejumlah pelajar Malaysia yang pernah menuntut di UK dan Ireland. Mereka baru sahaja menamatkan pengajian masing-masing dan mengambil inisiatif untuk berkumpul, bersumbang saran, sebelum semuanya bertebaran dengan kehidupan masing-masing di alam pekerjaan.
“Dalam pertemuan ini, saya tidak mempunyai nasihat-nasihat yang canggih untuk dikemukakan. Soal bagaimana keterlibatan antum di dalam kelangsungan dakwah pasca graduasi, bagaimana mahu berperanan di cawangan, kawasan atau di mana-mana, semuanya sudah banyak kali diperkatakan dan antum jelas mengenainya.
Tetapi, kali ini nasihat saya hanyalah nasihat pada perkara-perkara kecil yang jika antum menggarapnya secara salah, ia boleh kedengaran seperti suatu perlekehan terhadap minda dan segulung ijazah yang antum miliki. Maafkan saya. Namun saya perlu memperkatakannya, kerana benda-benda kecil inilah yang menjadi cabaran besar dan kemudiannya banyak melukakan, mencederakan dan seterusnya membunuh iman kita” saya meneruskan bicara.
Pagi itu, cuacanya agak panas.
Nampak rasa tidak selesa mereka.
Bukanlah kerana baru pulang dari luar negara, hatta saya yang sudah lama pulang ini pun, terasa bahangnya. Malaysia tidak pernah sepanas sekarang, 10 atau 20 tahun yang lalu.
Saya meneruskan bicara. Nasihat atau pesanan yang disampaikan simple sahaja.
PERGAULAN
Perhati-perhatikanlah aspek pergaulan.
Siapa di depan, kiri, kanan dan belakang cubicle masing-masing. Dengan siapa kalian keluar lunch. Siapa yang sering bersama-sama dengan kalian on site semasa menjalankan kerja seharian. Perhatikanlah.
Semasa di UK dan Ireland, biar pun bagi sesetengah orang mereka sudah bertemu dengan kebebasan kerana tiada lagi peraturan sekolah, peraturan asrama, peraturan rumah, malah peraturan agama, namun kalian tidak begitu. Dalam kebebasan itu, antum mencipta batasan. Penglibatan di dalam usrah dan kerja-kerja Islam, serta pergaulan antum dengan rakan-rakan sefikrah, menjadikan antum terikat dengan batasan-batasan tertentu dalam kehidupan.
Walaupun namanya belajar di UK dan Ireland, kalian belum kena penangan kebebasan.
Selamat pulang ke Malaysia, selamat masuk ke alam kerja.
Tiada lagi segan silu dengan rakan seperjuangan, kalian sendirilah yang bakal tentukan.
Awasi pergaulan, awasi credit hour dengan siapa antum paling banyak meluangkan masa.
Keruntuhan rumahtangga yang baru dibina atas asas Islam itu, boleh musnah hanya kerana penangan credit hour. Antum bersama dengan rakan kerja lebih banyak masa dan lebih berkualiti masanya berbanding dengan suami atau isteri masing-masing. Mungkin bunyi berdehem atau bunyi tapak kasut office mates lebih antum kenal daripada berdehem dan bunyi tapak kasut suami dan isteri di rumah.
Awas dengan hal ini.
PAKAIAN
Ingat balik pakaian kalian sebelum terbang ke UK dan Ireland dulu.
Semasa antum belum kenal tudung yang labuh atau jubah yang litup. Semasa antum belum berketayap di kepala dan mula menyimpan janggut. Ya, selamat pulang ke alam sebelum terbang ke UK dan Ireland dulu.
Jika semasa di UK dan Ireland, antum bebas membuat perubahan diri tanpa kekok, kesan sokongan persekitaran yang kalian bentuk, kini kekok itu baru bermula. Pulang dari UK dan Ireland dengan penampilan ala-ala graduan Timur Tengah, anda mungkin akan disinis oleh keluarga sendiri.
Disinis mungkin bukan dengan perkataan, tetapi cukup dengan lerekan mata, dingin dalam perbualan, dan perasaan-perasaan yang kalian rasa sendiri akibat berbezanya kalian daripada keluarga dan ‘teman lama’.
Maka dalam adjustment kalian tentang pakaian, ingat-ingatlah.
Ingatlah kepada batas-batasnya.
Berpada-padalah dalam usaha untuk menyamakan diri dengan massa.
Malah, jangan lupa dengan hati kecil pasangan anda.
Si isteri yang disunting melalui Bait Muslim dulu, mungkin jatuh cinta dengan anda kerana ketayap putih di kepala yang menumpahkan nurnya ke muka anda. Kasihnya berputik mungkin kerana tertawan dengan kemasnya janggut yang sunnah di bawah dagu anda. Maka sebelum membuat adjustment, janganlah sampai imej baru anda menjadikan si isteri terasa kehilangan anda dan rindu kepada insan yang tidak mungkin lagi ada.
Si suami yang menyunting anda melalui Bait Muslim, mungkin jatuh cinta dengan anda kerana jubah dan tudung labuh yang anda sarungkan ke tubuh. Hatinya mungkin basah melihat anda berimej demikian di celah pohon pine dan renang undan di tasik dan kali. Maka sebelum membuat adjustment pada pakaian itu, janganlah sampai imej baru anda menjadikan si suami terasa kehilangan anda dan rindu kepada insan yang tidak mungkin lagi ada.
Berbincanglah.
Ketahuilah expectation masing-masing.
Jangan dipendam kekecewaan pada perkara-perkara yang ‘kecil’. Kelak merebak menjadi besar. Suami dan isteri makin luas pergaulannya. Takut apa yang dia hilang dari kalian, ditemuinya pada rakan kerja. Banyak mehnah yang menyusul nanti.
PERSAHABATAN
Pesanan terakhir saya berkaitan dengan persahabatan.
Jika mahu bersahabat, bersahabatlah puas-puas semasa di UK dan Ireland.
Pulang ke Malaysia, biar pun kita seposkod, namun peluang untuk bertemu semakin sukar. Semua orang ter’sihir’ oleh kalimah berkuasa tinggi bernama S.I.B.U.K. Tiada lagi masa untuk bersama. Tiada lagi peluang untuk bertandang. Tiada berita mungkin sebaik-baik berita. Kalau sakit adalah bunyinya. Kalau mati adalah beritanya. Tanpa berita, mungkin semua baik-baik belaka.
Tambah-tambah pula bagi Muslimat.
Selepas kahwin, sahabatnya hanya suami dan anak.
Teman yang begitu rapat dan mesra semasa di perantauan, yang berkongsi tudung, baju, bantal dan tilam, mungkin tidak akan lagi dihubungi. Sekali berjumpa, update mungkin tentang jumlah anak dan produk pelangsingan tubuh yang diguna.
Jangan begitu.
Telefon ada.
Mailing list ada.
Semua ada.
Apa yang mungkin tiada ialah keinginan untuk mengekalkan persahabatan. Sedangkan sahabat-sahabat itulah yang sekapal dengan kalian semasa mengembara mengenal Iman dan kehidupan, semasa di perantauan dulu. Jangan lupakan mereka. Jangan tinggalkan mereka.
Jika tidak dapat bertemu 20 orang, hargai peluang bertemu dengan 2.
Setiap pertemuan, untuk menyuburkan kembali persahabatan yang pudar oleh kesibukan, adalah nikmat besar dari Allah, tatkala bermastautinnya antum di bumi Malaysia ini.
PENUTUP
Sebagaimana saya gembira melihat antum melangkah dari kepinga-pingaan di Lapangan Terbang dulu, kepada mula menyarung kot putih di hospital, dari Tahun 1 yang tidak mengerti apa-apa kepada kemudiannya menjadi senior yang berminda kelas tinggi dan petah berkata-kata, daripada terkial-kial dengan surah Yasin di masjid English pada Khamis malam Jumaat yang tiada kepada graduan pemegang segulung ijazah daripada sebuah universiti yang tersohor itu, demikianlah juga saya masih gembira melihat antum mula menimang anak.
Saya gembira melihat antum mengubah suai saiz seluar.
Saya gembira melihat antum meraba-raba uban yang mula tumbuh di kepala.
Saya gembira melihat antum bercerita tentang kerjaya yang saya semakin tidak memahaminya.
Saya gembira melihat antum meningkat dan terus dewasa daripada satu tahap ke tahap yang berikutnya.
Ketahuilah bahawa saya juga gembira andai kalian mencari saya untuk berkongsi kisah duka. Jika tidak tahu hendak ke mana meluahkan beban hati, jika berantakan antara suami dan isteri dalam kembara mawaddah dan rahmah, jika jadi keliru dengan kehidupan, ketahuilah, saya sama seperti dulu… sentiasa ada di sini menantimu.
Mungkin saya tiada penyelesaian atau nasihat canggih untuk dikongsi.
Tetapi saya sentiasa ada selautan kasih sayang dan ukhuwwah yang tersemat pada sekeping hati.
Seeru ‘ala barakatillah…
Mari Doa agar Allah menjaga kita, dalam setiap langkah dan masa, dalam setiap saat meneguhkan kita untuk sepanjang hidup ini. Tanpa pertolongan Allah, sesungguhnya kita tidak kuat untuk menjaga diri sendiri...Seeru ‘ala barakatillah…
2 comments:
Nice one. :)
Nice..<3
Post a Comment